Cari @ Amanz

Fitbit Versa Lite Edition, Inspire HR Dan Inspire telah diperlihatkan minggu lalu. Versa Lite Edition adalah jam tangan pintar manakala Inspire HR dan Inspire pula adalah penjejak kesihatan yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pengguna korporat. Bagi peminat peranti Fitbit di Malaysia, anda tidak perlu menanti lama untuk ketiga-tiga produk ini kerana ia akan dilancarkan di Malaysia pada 21 Mac hadapan.

Fitbit Versa Lite ialah sebuah Versa yang tidak menyokong  storan untuk MP3, tiada kemampuan mengira anak tangga atau menjejak senaman secara automatik. Ia masih lagi mengekalkan pengimbas nadi dan bateri yang mampu bertahan sehingga empat hari dengan sekali caj.

Fitbit Inspire HR dan Inspire pula ialah dua penjejak kesihatan dengan kemampuan menjejak aktiviti pengguna, pola tidur, fungsi jam randik dan peringatan untuk bersenam. Perbezaan di antara kedua-dua model ialah Inspire HR adalah satu-satunya yang dilengkapi pengimbas nadi.

Kesemua peranti boleh-pakai ini mempunyai kemampuan kalis air. Harga jualan di Malaysia belum diumumkan tetapi Fitbit Versa Lite dijual pada harga $160 (~RM 654), Inspire HR pada harga $100 (~RM 409) dan Inspire pada harga $70 (~RM 286) di Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd