Mengenang Kembali Symbian OS – Sistem Operasi Mudah-Alih Yang Pernah Menguasai Dunia

Mengenang Kembali Symbian OS – Sistem Operasi Mudah-Alih Yang Pernah Menguasai Dunia

Diterbitkan pada Mac 12, 2019 oleh .

Symbian OS. Sebuah sistem operasi yang banyak meninggalkan nostalgia kepada sejumlah masyarakat kita. Ia pernah menjadi sistem operasi mudah-alih pertama di antara pengguna yang baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia telefon pintar. Ia popular sekitar 2001 hingga 2011, sebelum diasak secara hebat oleh dua sistem operasi mudah-alih moden iaitu Android & iOS.

Sekiranya anda pernah menggunakan peranti Nokia seperti Nokia ‘sabun’, ‘daun’, N-Gage, mahupun Nokia N-Series, bermakna anda pernah menggunakan Symbian OS ini. Sistem operasi ini agak sedikit berbeza dengan telefon Nokia asas, kerana ia menyajikan butang menu “Symbian” yang ikonik, bersama kebolehan multitasking. Ia juga membolehkan pengguna memasang aplikasi “.sis/.sisx”, iaitu format fail pemasangan bagi sistem operasi ini.

Pemilikan telefon Symbian boleh dikatakan agak ‘jarang’ dalam kalangan pengguna kerana belum ada keperluan untuk beralih ke telefon pintar pada waktu itu. Membeli telefon pintar boleh dikatakan agak mahal, jadi pengguna lebih selesa untuk menggunakan telefon asas. Lebih-lebih lagi pada era sebelum 2010, teknologi SMS dan fungsi panggilan masih popular, selain penawaran data daripada telko masih ditawarkan pada harga yang tinggi.

Ia tidak seperti saat ini, pengguna membeli telefon pintar Android/iOS kerana perlu menggunakan sejumlah aplikasi popular untuk terus berhubung. Peralihan pengguna daripada SMS ke WhatsApp atau Telegram bukan sahaja merancakkan peralihan ke telefon pintar moden, tetapi turut memberi penjimatan yang lebih baik kepada pengguna. Pengguna kini boleh menghantar mesej dan membuat panggilan tanpa had melalui perkhidmatan internet, tanpa perlu risau dengan caj konvensional yang dikenakan oleh telko.

Namun, pengguna membeli telefon pintar kerana mahu manfaat daripada perisian dan perkakasan yang lebih berkuasa. Seperti contoh, Nokia ‘sabun’ atau model sebenarnya Nokia 6600, ia mempunyai kebolehan kamera VGA, slot kad MMC, dan menyokong pemasangan aplikasi. Orang membeli peranti Nokia N-Series juga mungkin atas faktor keupayaan multimedianya, seperti rekaan skrin yang lebih besar dan keupayaan kamera lebih baik.

Kemunculan Symbian

Symbian sebenarnya dibina berdasarkan EPOC32, iaitu sistem operasi yang dibangunkan oleh Psion pada tahun 90-an. Pada tahun 1998, Psion Software menjadi Symbian Ltd. yang merangkumi kerjasama antara Psion dan tiga pengeluar telefon utama seperti Ericsson, Motorola, dan Nokia.

Kemudiannya, pelbagai platform perisian telah direka untuk Symbian, yang mana disokong oleh pelbagai kumpulan pengeluar peranti mudah-alih. Ia termasuk S60 (Nokia, Samsung, dan LG), UIQ (Sony Ericsson dan Motorola), dan MOAP (Fujitsu, Sharp, dan pelbagai lagi). Dengan persaingan yang kecil pada era kegemilangannya, Symbian berjaya mencapai setinggi 67% pegangan pasaran global, untuk pasaran sistem operasi telefon pintar bagi tahun 2006.

Namun begitu, Symbian sebenarnya mengalami masa depan yang mencabar sejak ia dibangunkankan lagi – iaitu kesukaran untuk membangunkan aplikasi. Membangunkan sebuah aplikasi untuk Symbian adalah rumit kerana ia memerlukan pemahaman bahasa pengatucaraan yang tinggi. Bukan itu sahaja, para pembangun perlu membayar harga yang tinggi untuk menggunakan sejumlah IDE dan SDK, sekaligus mengekang para pembangun kecil menghasilkan aplikasi untuknya. Masalah ini dilihat telah dikurangkan ketika era Symbian Foundation pada tahun 2010, namun perlaksanaannya agak lewat.

Android dan iPhone OS (kemudiannya iOS pada tahun 2010) dibina dengan rekaan sistem operasi yang lebih ringkas, jadi para pembangun kurang mempunyai kesukaran dalam membangunkan aplikasi. Proses pembangunan aplikasi juga diberi dengan kemudahan yang menyeluruh, termasuk pemberian perisian pengatucaraan secara percuma. Apa yang menarik, para pembangun boleh mendapatkan insentif daripada pembangunan aplikasi (melalui aplikasi berbayar dan in-app purchase), dengan sedikit bayaran akaun pembangun kepada Google dan Apple.

Walaupun aplikasi Symbian sukar dibangunkan, Symbian sedia mempunyai solusi terbina, iaitu dengan membangunkan aplikasi berasaskan Java Mobile Edition (J2ME). Penghasilan aplikasi J2ME membolehkan pembangunan aplikasi diselaraskan dan kemudiannya, dijalankan pada semua peranti. Namun aplikasi J2ME mempunyai akses perkakasan dan API yang sangat terhad apabila dibandingkan dengan aplikasi natif.

Pada Jun 2009, Nokia mengambil-alih Symbian Ltd. dan menjadikannya sebagai organisasi yang tidak bersandarkan kepada keuntungan – melalui Symbian Foundation. Teknologi Symbian OS dan antaramukanya (S60, UIQ, dan MOAP) telah dipindahkan kepada Symbian Foundation, untuk menjadikannya sebagai perisian terbuka dan bebas royalti. Dengan peralihan ini, kod sumber untuk platform Symbian telah boleh didapati secara terbuka pada Februari 2010.

Namun pada November 2010, Symbian Foundation telah mengumumkan mereka akan beralih kepada organisasi berasaskan perlesenan sahaja selepas perubahan pasaran yang ketara. Nokia mengumumkan bahawa mereka akan mengambil Symbian dan Symbian Foundation hanya kekal sebagai entiti yang memegang tanda dagang dan sejumlah perlesenan. Di dalam Symbian Foundation juga, hanya pengarah bukan eksekutif sahaja yang terlibat dalam yayasan tersebut tanpa lagi penglibatan daripada barisan eksekutif.

Sepanjang 2010, pasaran pegangan Symbian telah menurun daripada 39% kepada 31% selepas ia ditewaskan oleh kebangkitan Android dan iOS. Stephen Elop telah dilantik menjadi CEO pada September 2010 bagi membangunkan kembali pasaran mudah-alih Nokia. Pada 11 Febuari 2011, beliau telah mengumumkan kerjasama Nokia bersama Microsoft untuk menggunakan Windows Phone sebagai platform mudah-alih utama. Langkah ini telah menyebabkan masa depan Symbian terus gelap, bersama-sama sistem operasi Meego yang digunakan pada Nokia N9. Hasil kajian pada Jun 2011, seramai 39% pembangun Symbian telah bercadang untuk meninggalkan platfrom ini.

Pada 5 April 2011, Nokia telah mengumumkan tidak lagi menerbitkan sebarang bahagian Symbian secara terbuka, namun kod sumbernya masih ditempatkan di bawah perlesenan EPL. Pada Jun 2011, Nokia telah melakukan perjanjian bersama Accenture untuk membolehkan Symbian diuruskan secara luaran. Bermula saat itu, Accenture akan menawarkan pembangunan perisian berasaskan Symbian dan sokongan untuknya melalui Nokia, sehingga tahun 2016.

Nokia telah melancarkan telefon Symbian yang terakhir pada Februari 2012 melalui perkenalan Nokia 808 PureView. Ia merupakan peranti Nokia pertama dengan penjenamaan PureView, selepas ia diteruskan pada Nokia Lumia 1020 (2013) dan Nokia 9 PureView (2019). Peranti Nokia 808 PureView ini cukup ikonik kerana ia mempunyai kamera 41MP dan menawarkan kebolehan zoom nirhilang (loseless) sebanyak 4 kali.

Namun selang beberapa tahun, Nokia telah menamatkan Symbian bermula 1 Januari 2014, termasuk dari segi pembangunan perisian dan sokongan untuk sekuriti. Sejak tarikh ini, Nokia tidak lagi menerbitkan sebarang aplikasi baru di Nokia Store, termasuk kemaskini aplikasi yang telah diterbitkan. Nokia juga telah menamatkan program pengesahan perisian ‘Symbian Signed’, sekaligus tidak membolehkan aplikasi baru menerima pengesahan ini.

Platform & Antaramuka

Symbian mempunyai perbezaan antaramuka daripada platform berbeza, melalui Series 60, Symbian^1, Symbian^3, UIQ, dan Series 80. Agak menarik kerana kesemua variasi ini tidak digelar “antarmuka”, tetapi dikenali sebagai “platform”. Ia disebut sebagai “platform” kerana setiap variasi ini mempunyai modifikasi dan penyertaan teknologi yang ketara. Oleh disebabkan itu, aplikasi yang direka untuk Symbian hadir dalam variasi yang berbeza, sekaligus mengundang kepada isu fragmentation.

Series 60

Series 60 mempunyai empat keluaran seperti “S60 1st Edition” (2001), “S60 2nd Edition” (2002), “S60 3rd Edition” (2005), dan “S60 5th Edition” (2008).

Paparan yang popular digunakan adalah daripada platform Series 60, dengan menyajikan paparan jam, status bateri/rangkaian, bersama latar belakang yang boleh ditukar oleh pengguna. Pada iterasi Series 60 yang lebih terkini, ia turut memperlihatkan mod “Active Standby” – dengan menyajikan paparan e-mel terkini, kalendar, dan sambungan WiFi yang berjaya dikesan.

Berikut antara peranti popular yang menggunakan platform Series 60.

S60 1st Edition (S60v1) – Nokia 7650, Nokia 3650, Nokia N-Gage, Nokia N-Gage QD
S60 2nd Edition (S60v2) – Nokia 6600, Nokia 7610, Nokia N70
S60 3rd Edition (S60v3) – Nokia N73, Nokia N81, Nokia N93, Nokia N95

S60 5rd Edition (S60v5) atau Symbian^1 adalah antara platform moden Symbian yang menyokong paparan skrin sentuh. Paparannya telah membolehkan pengguna meletakkan paparan sejumlah widget, seperti yang dilihat pada peranti Android. Ia membolehkan pengguna meletakkan widget ramalan cuaca, e-mel, suapan RSS, dan akses butang pantas.

Antara peranti popular yang menggunakan platform S60v5 (Symbian^1) ini ialah Nokia 5800 Xpress Music, Nokia N97, Nokia N97 Mini.

Symbian^3/Nokia Anna/Nokia Belle

Pada Symbian^3 pula, ia masih menggunakan antaramuka seumpama S60v5, namun telah dioptimasikan untuk paparan berasaskan kapasitif. Ia melalui perubahan yang drastik apabila ia menerima Nokia Belle, dengan kebolehan meletakkan widget secara bebas. Apa yang menarik lagi, Nokia Belle turut hadir dengan notification drawer, dengan membolehkan pengguna mengakses butang kawalan secara pantas.

Antara peranti popular yang menggunakan platform Symbian^3 ini ialah Nokia 808 PureView, Nokia E7, Nokia N8.

UIQ

Untuk UIQ pula, antaramukanya lebih dioptimasikan untuk penggunaan stylus, kerana terdapat butang yang sukar diakses menggunakan jari. Ia boleh dikatakan menyerupai dengan antaramuka Windows Mobile (OS sebelum Windows Phone) yang juga dioptimasikan untuk penggunaan stylus ini. Antaramuka ini memerlukan pengguna mempelajarinya terlebih dahulu kerana ia sangat berbeza dengan antaramuka Series 60.

Berikut antara peranti popular yang menggunakan platform UIQ.

UIQ 2 – Sony Ericsson P910, Motorola A1000, Nokia 6708
UIQ 3 – Sony Ericsson G900 / W960 / P1 / P990

Series 80

Antaramuka yang hadir pada platform Series 80 lebih dioptimasikan untuk peranti berasaskan “communicator”. Ia menyajikan paparan berbentuk desktop, dengan menyajikan butang kawalan fizikal yang ditempatkan pada bahagian kanan. Paparan antaramuka lebih kelihatan memanjang secara mendatar, kerana ia digunakan pada skrin di bahagian dalam peranti.

Antara peranti popular yang menggunakan platform ini ialah Nokia 9300 Communicator dan Nokia 9500 Communicator.

Series 90

Satu-satunya peranti tunggal komersial yang menggunakan platform ini ialah Nokia 7710. Platfrom ini telah dibina oleh Nokia yang mana turut menyaksikan kerjasama bersama Psion. Ia telah dilancarkan pada tahun 2003 menerusi Nokia 7700, namun peranti tersebut telah dibatalkan. Ia kemudiannya dilancarkan menerusi Nokia 7710 pada tahun 2014 dengan rekaan yang ditambahbaik.

Antaramukanya dilihat menyerupai Series 80 namun dioptimasikan untuk penggunaan stylus. Antaramuka ini kemudiannya diteruskan pada sistem operasi Maemo yang telah direka untuk Nokia Internet Tablet.

Aplikasi Popular

Walaupun terdapat kekurangan aplikasi, Symbian masih lagi menyajikan sejumlah aplikasi yang menarik untuk kegunaan pengguna. Berbeza dengan hari ini, aplikasi-aplikasi ini perlu dipasang secara sendiri oleh pengguna tanpa sebarang medium seperti App Store. Selalunya aplikasi-aplikasi ini dijual melalui laman web pengeluar itu sendiri dengan kadar bayaran tertentu.

UltraMP3

Sebelum adanya Spotify, pengguna peranti mudah-alih akan bergantung kepada fail MP3 untuk memainkan sesuatu muzik. Walaupun kebanyakan peranti Symbian sedia mempunyai sokongan MP3 terbina, penggunaan aplikasi luaran dilihat lebih menarik kerana ia mempunyai sejumlah pilihan kustomasi. UltraMP3 memberi pilihan kepada pengguna ‘skin’ yang boleh ditukar, selain menyajikan tetapan equalizer secara terbina.

SmartMovie

Salah satu faktor penggunaan aplikasi ini ialah kekurangan codec pada sesetengah peranti Symbian. SmartMovie membolehkan pengguna memainkan kandungan AVI dan DivX tanpa perlu menukar format fail terlebih dahulu. Seperti UltraMP3, SmartMovie juga hadir dengan ‘skin’ yang boleh dimuat-turun.

X-plore

Untuk memudahkan pengurusan fail, aplikasi Xplore turut kerap digunakan oleh kebanyakan pengguna Symbian. Ia membolehkan menggunakan menguruskan fail dengan lebih menyeluruh, dengan kebolehan untuk mengakses kandungan di dalam folder sistem. Apa yang menarik, ia turut membolehkan pengguna membuat cut dan paste dengan hanya menekan butang T9 pada peranti.

Gravity!

Bagi penggemar Twitter yang menggunakan perant Symbian, Gravity! adalah antara aplikasi yang wajib dipasang. Ia menawarkan paparan yang intuitif dalam melihat tweet terkini dan Direct Message yang dihantar oleh pengguna. Apa yang menarik lagi, ia turut menyokong akaun media sosial yang lain seperti Foursquare di dalam satu aplikasi.

Explode Arena

Explode Arena bukanlah satu aplikasi tetapi permainan yang mempunyai populariti yang tinggi dalam kalangan pengguna Symbian. Ia menawarkan permainan seumpama Bomberman namun hadir dengan mod permainan yang unik. Permainan ini popular kerana ia membolehkan pengguna Symbian lain berlawan antara satu sama lain, yang dijayakan melalui sambungan Bluetooth.

Rumusan

Sistem operasi Symbian telah berjaya berkhidmat kepada pengguna melebihi sedekad lamanya. Ia antara sistem operasi mudah-alih yang berjaya menarik minat sejumlah pengguna ke telefon pintar, sebelum ia diteruskan dengan lebih drastik melalui pertumbuhan Android dan iOS. Ia mudah digunakan, hadir dalam peranti Nokia yang unik, dan menyokong pemasangan aplikasi yang menarik.

Namun, Symbian telah dimatikan atas kebangkitan dua sistem operasi moden yang terus menguasai pasaran telefon pintar pengguna. Pesaingnya lebih memberi penggunaan yang lebih intuitif, bagi memberi pengalaman penggunaan peranti yang ringkas dan moden. Selain itu juga, platform pesaing turut menawarkan bilangan aplikasi yang lebih meluas, yang merangkumi sejumlah aplikasi dan permainan yang menarik.

Namun kematian Symbian ini juga berlaku atas keputusan bekas CEO Nokia bertindak untuk menggantikan Symbian dengan Windows Phone. Keputusan ini nampaknya tidak membuahkan hasil kerana ia masih tidak berjaya menyelamatkan bahagian telefon mudah-alih Nokia. Akhirnya, Symbian telah ‘dibunuh’ oleh Nokia melalui penggantinya yang turut ‘terbunuh’ atas kekurangan pengguna.

Symbian mungkin tidak lagi dikenali oleh pengguna hari ini, namun ia dipahatkan di dalam sejarah sebagai sebuah sistem operasi yang pernah popular untuk telefon mudah-alih. Sejarah hidupnya sangat menarik kerana ia berjaya mencapai zaman kegemilangannya sebelum ia mengalami penurunan dari segi penggunaan. Bagi anda yang pernah menggunakan peranti dengan sistem operasi ini, apakah kenangan anda bersama dengan Symbian ini? Kongsikan kepada kami melalui ruangan di bawah.


TIPS & ULASAN