Sebanyak 13 versi Motorola Razr dihasilkan ketika zaman kegemilangan peranti mudah alih ini. Ia walau bagaimanapun dihentikan pengeluaran pada tahun 2009 selepas pengguna tidak lagi meminati peranti dengan rekaan clamshell. Bukan lagi misteri bahawa Motorola Razr 2019 akan dihidupkan semula seperti Lazarus. Laman XDA hari ini melaporkan maklumat eksklusif mengenai spesifikasi peranti yang juga hadir dengan skrin boleh lipat.
Tidak seperti Galaxy Fold dan Mate X, Razr baharu akan dijana oleh cip kelas pertengahan Snapdragon 710. Ini adalah bagi membolehkan ia dijual pada harga lebih rendah sekitar $1500 (~RM 6000) sebuah. Selain itu ia dilengkapi memori 4/6 GB RAM, storan 64/128 GB dan bateri sebesar 2730 mah. Saiz bateri ini lebih kecil berbanding 4200 pada Mate X kerana Razr bersaiz lebih kecil.
Skrin utama sebesar 6.2″ dengan resolusi 876×2142 pixel manakala skrin sekunder pada bahagian luar hanya mempunyai resolusi 600×800 pixel. Ini sebuah lagi petanda Razr 2019 akan mengekalkan rekaan clamshell klasik seperti yang telah dipatenkan oleh Motorola baru-baru ini.