Microsoft telah mengumumkan penamatan sokongan untuk Windows Phone berakhir pada 10 Disember 2019. Dengan tindakan ini, Windows Phone akhirnya akan menjadi sistem operasi yang mati selepas ia ditamatkan oleh Microsoft sendiri. Kematian Windows Phone sebenarnya telah dijangka lebih lama, di atas beberapa faktor seperti dari segi rekaan, aplikasi, dan pembangunan sistem operasi ini sendiri.
Kenapa Windows Phone diwujudkan?
Microsoft mahukan sebuah sistem operasi mudah-alih yang moden dan intuitif. Windows Mobile 6.5 dan sebelumnya sudah berada di tahap yang “tepu” untuk ditambah baik, kerana ia dipenuhi dengan teknologi dan antaramuka klasik. Ia juga sukar diubah secara sepenuhnya, jadi mereka perlu membina sebuah sistem operasi baru daripada mula untuk memenuhi kegunaan moden.
Kesemua ini terjadi apabila Steve Jobs melancarkan iPhone generasi pertama pada tahun 2007. Ia menawarkan sebuah peranti berasaskan kawalan skrin sentuh secara sepenuhnya, yang mana didorong daripada teknologi multi-touch. Pada saat itu, telefon sering mempunyai skrin yang kecil, kerana separuh daripada binaan peranti telah ditutup oleh kekunci fizikal. Perkara ini sekaligus menyukar dan melambatkan pengoperasian peranti, selain tidak membolehkan saiz skrin yang besar dihasilkan.
Pelancaran iPhone ini turut menyebabkan jurutera di Google telah mengubah rekaan peranti prototaip Android yang mereka telah bangunkan sekitar 2 tahun. Pada awalnya, rekaan peranti ini menyerupai seperti peranti BlackBerry, dengan penyertaan papan kekunci berasaskan QWERTY. Namun selepas pelancaran iPhone, prototaip ini kemudiannya telah dikemaskini untuk kegunaan skrin sentuh, yang mana meliputi daripada aspek binaan dan perisian.
iPhone dibina secara eksklusif, bagi membolehkan Apple mengawal bahagian perkakasan seperti spesifikasi, rekaan, dan kualiti peranti yang dibangunkan. Perkara ini membolehkan perisian dioptimasikan dengan lebih baik, selain mengurangkan isu fragmentation. Ia berbeza dengan Android kerana Google mahu menyediakan Android ke sebanyak pengeluar yang boleh dengan membekalkannya secara percuma.
Kelahiran iPhone dan sistem operasi Android ini membolehkan kedua-duanya memberi keseimbangan antara satu sama lain. Mereka sering bersaing, jadi pengguna dapat memanfaatkan fungsi dan perletakkan teknologi baru. Tetapi pada tahun 2010, sistem operasi baru yang dikenali sebagai “Windows Phone” telah muncul untuk memeriahkan lagi pasaran telefon pintar.
Agak menarik kerana Microsoft sebenarnya mempunyai pengalaman yang lebih luas di dalam pasaran telefon pintar ini berbanding Google dan Apple. Mereka telah mula membangunkan sistem operasi mudah-alih sejak 1996 dan kemudiaannya diteruskan melalui 6 iterasi Windows Mobile. Pada sekitar 2006, Windows Mobile berjaya mencapai pegangan pasaran sekitar 15%, yang mana cukup besar berbanding pesaingnya iaitu BlackBerry dan Palm (kecuali Symbian daripada Nokia). Kejayaan ini telah membuatkan mereka berasa skeptikal dengan kewujudan dan masa hadapan iPhone.
Sewaktu iPhone dilancarkan, Steve Ballmer iaitu CEO Microsoft pada waktu itu telah memberi reaksi yang kurang positif mengenai produk terbaru Apple ini. Beliau menegaskan harganya agak mahal, kerana ia dijual pada harga $500 USD untuk sebuah telefon pintar (dengan ekosistem baru). Beliau juga menegaskan, iPhone ini tidak dapat menarik minat pelanggan perusahaan, kerana ia tidak didatangkan dengan sebarang kekunci fizikal. Menurut beliau, kekunci fizikal ini amat penting dalam memudahkan penghantaran e-mel, yang mana ia satu fungsi yang banyak digunakan oleh sektor perusahaan ini.
Steve Ballmer turut ditanya mengenai bagaimana Microsoft ingin bersaing dengan iPhone kelak. Ia ditanya kerana pelancaran iPhone ini bukan sahaja mencuri perhatian di acara Macworld, tetapi masyarakat global secara khususnya. Jawapan yang diberikan oleh Steve Ballmer, “Microsoft telah menjual berjuta dan berjuta dan berjuta-juta telefon setiap tahun. Apple masih tidak menjual satu unit telefon pun (ketika saat wawancara ini dijalankan)”.
Namun selepas beberapa ketika pengenalan iPhone, pegangan pasaran Windows Mobile terus menurun dari tahun ke tahun. Perkara ini membuatkan mereka mula membina Windows Phone pada sekitar 2008 sebagai persediaan untuk bersaing dengan platform mudah-alih moden. Akhirnya pada Februari 2010, Windows Phone akhirnya diperlihatkan secara rasmi melalui perkenalan “Windows Phone 7”.
Versi Windows Phone
Windows Phone 7
Windows Phone 7 telah diumumkan melalui acara Mobile World Congress 2010 di Barcelona pada 15 Februari 2010. Ia kemudiannya telah dilancarkan kepada pengguna pada 8 November 2010 pada satu acara di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2011, Microsoft telah melancarkan Windows Phone 7.5 “Mango”, dengan Internet Explorer 9 yang dikemaskini, kebolehan multi-tasking, integrasi Twitter pada People Hub, dan akses kepada SkyDrive. Pada tahun 2012, mereka melancarkan Windows Phone 7.5 “Tango” dengan membolehkan peranti dengan CPU 800 MHz dan 256MB RAM menjalankan Windows Phone.
Namun ketika pelancaran Windows Phone 8, peranti yang Windows Phone 7 tidak boleh dinaiktaraf ke sistem operasi yang terbaru ini, kerana ia mengalaman limitasi dari segi perkakasan dan kernel yang digunakan.
Untuk membolehkan pengguna mendapatkan sedikit manfaat daripada Windows Phone 8, Microsoft telah melancarkan Windows Phone 7.8 pada tahun 2013. Melalui versi ini, ia membolehkan pengguna mendapatkan paparan Start Screen, pilihan warna, dan sejumlah pilihan latar belakang baru.
Windows Phone 8
Pada 29 Oktober 2012, Microsoft telah melancarkan Windows Phone 8 yang direka dengan sejumlah teknologi baru. Versi Windows Phone telah menggantikan senibina Windows CE kepada kernel Windows NT, bagi membolehkan pembangunan aplikasi diselaraskan antara Windows 8 dan Windows Phone 8.
Windows Phone 8.1
Windows Phone 8.1 telah diumumkan pada 2 April 2014 dengan penyertaan fungsi baru yang cukup besar. Ia kini telah menyertakan paparan notification center, Internet Explorer 11, dan kebolehan meletakkan bahagian Live Tiles yang baru pada Start Screen. Versi ini turut menambah Cortana, iaitu sistem pembantu maya untuk bersaing dengan Siri dan Google Now.
Bermula versi ini juga, Microsoft tidak lagi mewajibkan pengguna untuk meletakkan butang fizikal seperti back, Start, dan Search. Kesemua fungsi butang fizikal ini telah digalas melalui butang maya yang ditempatkan di bahagian bawah skrin.
Windows Phone 10 Mobile
Pada 21 Januari 2015, Windows 10 Mobile telah diumumkan sebagai sistem operasi yang bukan sahaja untuk telefon, tetapi turut direka untuk tablet. Fokus utama sistem operasi ini ialah ingin menyatukan kesemua ekosistem Windows 10, seperti perisian dan perkhidmatan yang diselaraskan. Bermula versi ini juga, penjenamaan “Windows Phone” tidak lagi digunakan secara rasmi kerana ia lebih dilihat sebagai edisi untuk Windows 10.
Windows 10 Mobile membawa sokongan perisian yang baru, antaranya Universal Windows Platform (UWP). Inisiatif UWP membolehkan sesuatu aplikasi dihasilkan dan digunakan pada kesemua variasi Windows 10. Windows 10 Mobile juga membawa sejumlah fungsi baru, seperti integrasi Skype yang lebih mendalam, pelayar web Microsoft Edge, dan aplikasi Microsoft Office yang baru.
Windows 10 Mobile turut mempunyai middleware secara terbina yang dikenali sebagai Windows Bridge. Ia membolehkan aplikasi yang direka untuk iOS dijalankan pada Windows 10 Mobile, dengan hanya memerlukan pertukaran kod yang minima untuk berfungsi.
Kejatuhan Windows Phone
Antaramuka
Salah satu perkara yang menyumbang kepada kegagalan Windows Phone adalah dari segi antaramuka yang didatangkan. Ia diterima baik daripada penggemar teknologi kerana ia mempunyai tampilan yang ringkas, segar, dan moden. Namun untuk pengguna biasa, mereka kelihatan lebih cenderung kepada antaramuka yang ceria – berbanding rekaan berpetak pada Windows Phone.
Faktor antaramuka ini walaupun dilihat agak remeh, ia sedikit sebanyak masih memberi kesan kepada pemilihan jenama dan mungkin, kesetiaan kepada pengeluar peranti. Apabila pengguna selesa dengan sesebuah antaramuka, mereka akan terus menggunakan jenama tersebut – selagi penawaran peranti yang dikeluarkan mempunyai spesifikasi yang relevan dan berpatutan. Namun pada saat ini, pengeluar utama Android sedia mempunyai antaramuka tersendiri yang ceria, jadi ia tidak memberi masalah untuk pengguna beralih daripada satu pengeluar ke satu pengeluar yang lain.
Melalui pegangan pasaran telefon pintar Android, keempat-empat pengeluar terbesar adalah pengeluar yang menggunakan tampilan antaramuka sendiri. Penggunaan antaramuka sendiri ini bukan sahaja memberi tampilan antaramuka yang ceria, tetapi turut menyajikan pelbagai fungsi ekstra yang menarik. Sehingga hari ini, tiada pengeluar yang menggunakan tampilan Android asli sebagai antaramuka utama, berjaya menduduki tangga 5 teratas ini.
Berbalik kepada Windows Phone, Microsoft mengambil pendekatan yang berbeza dalam membangunkan antaramuka Windows Phone tanpa mengikuti apa yang dilakukan oleh pesaingnya. Mereka ingin menstransformasi dunia ikon melalui ‘Live Tiles’, dengan menyajikan info ringkas berbanding tampilan ikon statik. Dunia pengkomputeran telah bergantung kepada ikon sejak adanya GUI dan Microsoft ingin menggunakan idea Live Tiles ini untuk digunakan pada pengkomputeran masa hadapan.
Namun perlaksanaan ini kurang diterima baik kerana ia merugikan ruang antaramuka. Microsoft sendiri telah menjenamakan semula Metro UI kepada Modern UI – dan kemudiannya Fluent Design – dengan sejumlah penambahbaikan dari segi antaramuka. Fluent Design tidak mengekang kepada penggunaan tulisan dan rekaan berpetak semata-mata, tetapi ingin menampilkan sebuah paparan yang moden dan dinamik.
Ada juga mengatakan Windows Phone gagal adalah kekurangan dari segi kustomasi. Ia tidak membenarkan pengguna menukar “paparan berpetak” ini ke paparan yang lain, atau mengubah paparan App List ini tampil dalam bentuk grid. Ia juga tidak membolehkan pengguna menukar tema yang menyeluruh, dengan hanya membolehkan pengguna membuat pertukaran warna accent.
Namun persoalannya, adakah kekurangan sifat kustomasi disalahkan? Ia masih memberi kesan namun ia bukan alasan utama kepada kegagalan ini. iOS sejak ia diwujudkan juga mempunyai kekurangan dari segi kustomasi, malah lebih dahsyat. Paparan utamanya tidak boleh diubah dari segi tampilannya, sekaligus memaksa pengguna bergantung kepada rekaan ikon yang dihasilkan oleh pembangun aplikasi. iOS juga tidak menyokong pertukaran tema, melainkan pengguna melakukan jailbreak pada peranti.
iOS tetap digunakan adalah kerana sokongan aplikasinya yang meluas, hadir dengan antaramuka yang ceria dan mudah digunakan, serta mempunyai ekosistem peranti yang baik antara peranti Apple. Bunyinya lebih kurang seperti Windows Phone – mudah digunakan, mempunyai ekosistem yang baik antara peranti Windows, namun satu sahaja – ia tidak mempunyai penawaran aplikasi yang meluas.
Kekurangan sokongan aplikasi
Salah satu faktor untuk membolehkan sesebuah sistem operasi untuk terus hidup dalaah sokongan aplikasi. Tidak kira sehebat mana sistem operasi tersebut, sekiranya ia tidak dibanjiri dengan pelbagai pilihan aplikasi, ia tidak akan dapat bertahan lama. Ia telah dibuktikan melalui Meego, Firefox OS, dan BlackBerry 10 OS yang kini ‘mati’ akibat tiada sokongan aplikasi.
Sepanjang hayat Windows Phone, “app gap” sering menjadi terma yang disebut-sebut ketika seseorang pengguna ingin beralih ke Windows Phone. Sebab utama app gap ini berlaku adalah kerana platform ini mempunyai bilangan pengguna yang kecil. Para pembangun semestinya tidak merasakan keperluan untuk membangunkan aplikasi untuk platform ini, kerana platform alternatif sedia menawarkan manfaat yang lebih baik.
Microsoft telah mengeluarkan banyak iniastif dalam usaha menarik minat pembangun ini. Antaranya dengan menghadirkan inisiatif Universal Windows Platform (UWP), yang membolehkan para pembangun menghasilkan aplikasi UWP untuk digunakan pada keseluruhan variasi Windows. Bukan setakat itu sahaja, Microsoft turut mengumumkan Project Islandwood (kini Windows Bridge for iOS), untuk membolehkan aplikasi yang dibangunkan untuk iOS dijalankan pada peranti Windows 10 dan Windows 10 Mobile.
Dengan inisiatif Project Islandwood, Windows Phone menerusi Windows 10 Mobile akhirnya menerima aplikasi Instagram versi penuh pada Mac 2016. Antaramukanya kelihatan menyerupai seperti Instagram pada iOS, selain membolehkan pengguna menikmati fungsi terkini Instagram eperti yang ditawarkan pada platform alternatif. Inisiatif ini juga turut digunakan pada aplikasi Facebook, yang turut membawa fungsi seperti aplikasi di iOS.
Aplikasi Project Islandwood walaupun memberi kesan yang positif kepada pertumbuhan aplikasi, ia mempunyai beberapa kekangan untuk digunakan pada Windows Phone. Antara isu utama yang dihadapi ialah masalah prestasi ketika aplikasi ini dijalankan pada peranti. Aplikasi Islandwood akan mengambil masa yang lama untuk dibuka, selain terasa sangat perlahan dan ‘buggy‘ ketika berada di dalam aplikasi. Selain itu juga, aplikasi Islandwood telah membuatkan antaramuka aplikasi tidak konsisten, dan bertentangan dengan design language yang digunakan oleh Windows.
Di saat ‘kematian’ Windows Phone, platform ini masih tidak mempunyai aplikasi popular seperti Youtube, Google Maps, VSCO Cam, dan sejumlah aplikasi bersifat tempatan. Aplikasi seperti Waze dan Instagram juga telah ditarik keluar kerana pembangunannya tidak lagi diteruskan. Bagi penggemar permainan, Windows Phone juga masih tidak mempunyai permainan yang popular seperti PUBG Mobile, Mobile Legends, dan Clash Royale sehingga saat ini.
Kurang sokongan daripada Google
Google sedia mempunyai pelbagai perkhidmatan yang cukup meluas, dalam memudahkan tugasan harian pengguna. Perkara ini membuatkan hampir setiap orang yang menggunakan peranti pintar pastinya akan bergantung kepada perkhidmatan Google. Namun pada Windows Phone, Google dilihat tidak berminat untuk menawarkan perkhidmatan mereka yang mungkin berikutan daripada faktor kekurangan pengguna.
Perkara ini menyebabkan aplikasi-aplikasi popular Google tidak mempunyai aplikasi yang rasmi. Para pengguna hanya boleh mengakses perkhidmatan Google melalui pelayar web atau menggunakan aplikasi pihak ketiga. Perkara ini membuatkan sesetengah fungsi unik mudah-alih tidak dapat digunakan, terutama fungsi navigasi pada Google Maps.
Pada Windows Phone ini sendiri, Microsoft sedia menyajikan sejumlah alternatif bagi mengurangkan kebergantungan pengguna kepada Google. Untuk urusan navigasi, pengguna boleh menggunakan Maps yang didatangkan secara terbina, bersama sokongan navigasi secara percuma. Bagi perkhidmatan storan awan, Microsoft juga sedia mempunyai OneDrive sebagai ruang untuk penyimpanan storan dan membuat salinan data. Namun kesemua ini berbalik kepada faktor pengguna yang mungkin lebih selesa dengan perkhidmatan daripada Google.
Berbeza dengan iOS, walaupun Google dan Apple bersaing antara satu sama lain, Google tetap menawarkan hampir keseluruhan aplikasi mereka pada platform tersebut. Malah, ada beberapa aplikasi Google memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding versi di Android. Perkara ini mungkin disebabkan bilangan pengguna iOS yang lebih ramai, selain didorong daripada sumber yang intensif untuk pembangunan aplikasi di iOS.
Microsoft mengawal pengeluar
Pengeluar Windows Phone pada awalnya perlu mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Microsoft terutama dari segi pemilihan perkakasan. Bermakna, setiap peranti Windows Phone perlu mengikuti spesifikasi yang ditentukan oleh Microsoft dalam memastikan pengalaman penggunaan yang baik. Walaupun ia mempunyai manfaat yang positif, pengeluar sebenarnya tidak dapat membuat pertukaran beberapa perkakasan (seperti chipset) dalam mengurangkan kos hasilan peranti.
Bukan itu sahaja, setiap pemangan Windows Phone pada peranti juga akan dikenakan dengan caj perlesenan yang mahal. Menurut laporan, setiap peranti Windows Phone dikenakan caj sekitar $23 hingga $30 USD mengikut jenis spesifikasi peranti. Berbeza dengan Android, pemasangan sistem operasi pada peranti boleh dilakukan tanpa sebarang caj bayaran.
Walau bagaimanapun, bayaran perlesenan masih dikenakan sekiranya pengeluar ingin memasang Google Mobile Services (GMS) di dalam peranti keluaran mereka secara sah. GMS ini adalah satu komponen perisian yang perlu dipasang bagi membolehkan aplikasi Google dijalankan pada peranti. Sekiranya pengeluar tidak membayar lesen ini, GMS masih boleh dipasang, namun peranti tersebut tidak mendapat pengesahan yang sah daripada Google.
Berbalik kepada Windows Phone, kawalan daripada Microsoft ini telah menyebabkan banyak pengeluar menarik minat daripada terus menghasilkan peranti berasaskan Windows Phone. Huawei antara pengeluar yang bertegas dengan pendirian ini kerana produk berasaskan Windows Phone tidak menguntungkan mereka. Disebabkan hal ini juga, pertumbuhan model baru untuk Windows Phone berada pada tahap yang perlahan, sekaligus menyebabkan platform ini kurang disajikan dengan peranti berasaskan perkakasan terkini.
Perubahan kepimpinan
Microsoft telah melalui era “Microsoft baru” selepas Satya Nadella mengambil-alih tugas CEO daripada Steve Ballmer pada 4 Februari 2014. Antara perubahan yang dibawa oleh beliau adalah dengan mengutamakan pembangunan teknologi berasaskan awan. Beliau juga telah menjadikan Microsoft menjadi lebih terbuka dalam mengadakan kerjasama, termasuk daripada syarikat pesaingnya seperti Apple, Salesforce, IBM, dan Dropbox. Di bawah kepimpinan beliau juga, Microsoft kini telah menjadi penyumbang sumber terbuka terbesar, disamping meletakkan syarikat ini sebagai ahli Platinum dalam Linux Foundation.
Dengan melihat kepada usaha beliau dalam menaikkan Microsoft kembali, Satya lebih berminat untuk mengadakan kolaborasi berbanding mengadakan persaingan. Disebabkan itu, kepimpinan Satya dilihat lebih realistik dengan arus perubahan pasaran semasa. Dengan penerimaan Windows Phone yang semakin berkurangan, ada baiknya pembangunan Windows Phone dihentikan dan membawa sejumlah fungsi platform ini ke platform alternatif. Ia bukan sahaja menjimatkan kos pembelanjaan Microsoft, tetapi membolehkannya dimanfaatkan kepada lebih ramai pengguna.
Tindakan ini telah memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan Microsoft dengan lebih meluas. Pada tahun 2015, Microsoft Office telah hadir pada peranti mudah-alih Android dan iOS selepas ia berada secara eksklusif untuk peranti mudah-alih Windows (dan Symbian). Apa yang menarik, aplikasi-aplikasi ini ditawarkan secara percuma dan langganan hanya dikenakan untuk peranti dengan saiz peranti 10.1-inci dan ke atas.
Selain Microsoft Office, Microsoft kini juga mempunyai penawaran seperti Microsoft Outlook, Microsoft Office Lens, dan Microsoft Edge pada kedua-dua platform mudah-alih ini.
Rumusan
Windows Phone mempunyai potensi untuk menjadi platform mudah-alih yang berjaya, namun didorang daripada beberapa kelemahan utama. Antaramukanya kurang menarik perhatian ramai dan bilangan aplikasi yang ditawarkan juga adalah terhad telah menyebabkan pertumbuhan platform ini berada pada kadar yang perlahan. Sokongan pembangun aplikasi dan pengeluar juga semakin berkurangan, atas bilangan pengguna dan kuasa membeli yang rendah.
Walau bagaimanapun, sektor mudah-alih Microsoft akan terus berkembang dengan peralihan kepada fokus yang baru. Walaupun tidak lagi menghasilkan Windows Phone, mereka dapat meningkatkan sektor mudah-alih ini dengan penawaran sejumlah produk seperti Microsoft Office, Outlook, dan OneDrive pada platform yang berbeza. Microsoft era baru tidak lagi ingin mewujudkan persaingan, tetapi ingin membantu orang ramai melaksanakan apa jua tugasan tanpa mengira peranti.