Kebolehan imbasan dokumen melalui kamera peranti telah lama wujud, namun ia perlu didapati secara berasingan melalui pemasangan aplikasi. Microsoft ingin memudahkan tugasan ini dilakukan pada peranti, dengan menghadirkan fungsi untuknya melalui aplikasi kamera secara terbina.
Fungsi ini telah sedia didapati di dalam binaan Windows 10 terkini, melalui aplikasi kamera dengan versi 2019.222.10.0. Apa yang menarik, ia bukan sahaja dapat mengimbas dokumen, tetapi turut boleh mengimbas perkara yang berada di papan putih. Perkara yang diimbas kemudiannya akan diperbetulkan dari segi kedudukan dan pencahayaan secara automatik, bagi memudahkan anda membacanya dalam bentuk gambar.
Fungsi yang diperlihatkan ini sebenarnya diambil daripada aplikasi Microsoft Office Lens, yang mana ia turut ditawarkan pada platform Android dan iOS. Pada awal tahun lepas, fungsi ini turut diintegrasikan pada aplikasi OneNote bagi memudahkan proses imbasan dokumen terus daripada aplikasi.
Fungsi imbasan dokumen ini dijangka hadir pada binaan stabil Windows 10 Versi 1903, yang mana mungkin akan dikeluarkan pada sekitar April ini. Bagi pengguna yang ingin mencubanya terlebih dahulu, anda boleh mendaftarkan diri anda di dalam program Windows Insider dan menetapkan saluran kemaskini kepada Skip Ahead.