Cari @ Amanz

Acer Memperkenalkan Komputer Kerja Siri Altos P – Hadir Dengan Memori Sehingga 512GB RAM Dan Storan 32TB

Link Copied!

Workstation atau komputer kerja adalah sejenis komputer yang memfokuskan kerja-kerja berat. Kerja berat ini adalah seperti render grafik, rekaan CAD untuk para jurutera, kerja-kerja menganalisa data yang serius dan banyak lagi. Kerja-kerja berat seperti ini memerlukan spesifikasi komputer yang berkuasa; dari segi prestasi, sambungan internet pantas, kemampuan multi-tugasan hebat atau juga mempunyai memori yang mencukupi.

Hari ini, Acer memperkenalkan tiga komputer kerja berkuasa di bawah siri Altos P. Ketiga-tiga komputer kerja ini mempunyai rekaan berbeza, fokus tersendiri, tetapi kekal berkuasa. Komputer-komputer kerja ini adalah; Altos P30 F6, Altos P330 F4 dan Altos PT310 F4. Bersama-sama dengan komputer-komputer kerja ini, Acer turut memperkenalkan mesin pelayan berkuasa Altos R380 F4.


Altos P30 F6

Komputer ini dijana dengan cip pemproses Intel generasi ke-8 yang dipadankan dengan pelbagai variasi kad grafik NVIDIA. Antara kad grafik yang digunakan adalah NVIDIA Quadro dengan NVIDIA Scalable Geometry Engine yang sesuai untuk kerja-kerja rekaan grafik 3D. Ia hadir dengan sistem sekuriti terbina dan juga sambungan dwi-LAN. Untuk memori, ia hadir dengan RAM 64GB dan storan 32TB. Untuk paparan ia menyokong dari resolusi 2K sehingga 4K. Harga yang ditawarkan buat model ini adalah RM4,280 sahaja.

Altos P330 F4

Model ini hadir degan spesifikasi yang lebih mengagumkan. Seperti model P30 F6, P330 F4 turut memfokuskan kerja-kerja render grafik 3D, kaji selidik profesional, rekaan kandungan digital atau analisa kewangan. Ia dijana dengan cip pemproses Intel Skylake-W yang dipadankan dengan memori 512GB RAM dan storan dalaman yang boleh ditetapkan oleh pengguna sendiri. Untuk sambungan internet, ia hadir dengan port sambungan Ethernet 5Gigabit dan 1Gigabit. Rekaan kerangka komputer ini mempunyai bahagian mudah akses untuk cakera keras dan juga mempunyai sokongan bekalan kuasa 80 PLUS yang menjimatkan penggunaan tenaga. Harga yang ditawarkan adalah RM8,799.

Altos T310 F4

Model komputer kerja yang ketiga ini adalah antara yang paling berkuasa. Ia mempunyai ciri seakan sebuah mesin pelayan dan juga harga yang kompetitif dalam kelasnya. Rekaan kerangka komputer ini adalah satu-soket denga sokongan bekalan kuasa 80 PLUS yang tidak membuat bunyi bising. Komputer ini dijana cip pemproses 14nm dari Intel, slot sambungan cakera keras fleksibel sehingga 32TB, kawalan sambungan Ethernet Gigabit terbina dan juga terdapat 6-saluran SATA terbina dengan perisian RAID 0, 1, 5 atau 10. Panel hadapan komputer ini mempunyai lampu LED untuk memantau status pelayan dengan mudah. Harga buat model ini tidak diumumkan lagi.

Mesin Pelayan Altos R380 F4

Mesin pelayan ini hadir dengan dwi-soket 2U yang menyokong banyak aplikasi. Ia dijana dengan cip pemproses sehingga dua Intel Xeon Scalable Family, slot RAM DDR4 berprestasi tinggi, akses mudah untuk buka/pasang cakera keras dan cakera keras yang dipasang boleh dilaras untuk 12Gb/s SAS RAID dan SAS HBA untuk prestasi lebih hebat. Sama seperti komputer-komputer siri Altos P tadi, ia turut menyokong bekalan kuasa 80 PLUS degan kemampuan sokongan sehingga 1300W dengan sistem kipas boleh tukar. Untuk sambungan ke rangkaian, ia mempunyai dua port 10 Gigabit Ethernet, 8 PCIe 3.0, modul I/O dan juga modul slot SAS. Mesin pelayan ini turut mempunyai sistem dinamik yang boleh berfungsi sebagai nod komputer dan sesuai untuk infrastruktur awan.


Beberapa produk Acer yang disebutkan dalam artikel ini boleh dibeli di Malaysia daripada mana-mana kedai Acer atau pengedar yang sah.


Komen ()