Cari @ Amanz

WhatsApp Sedang Menguji Fungsi Carian Imej Terbina Bagi Menentang Penyebaran Berita Palsu

Link Copied!

Di WhatsApp pagi semalam antara mesej tular yang kami terima ialah gambar pelajar yang dikatakan meninggal dunia akibat pembuangan sisa toksik di Johor. Gambar ini nyata palsu dan sebenarnya adalah dari insiden keracunan makanan yang berlaku di sebuah sekolah beberapa tahun yang lalu. Tetapi berapa ramai di kalang anda yang akan melakukan carian imej untuk pengesahan sebelum menyebarkannya ke “group sebelah” ? Masalah penyebaran berita palsu ini berbahaya dan biasanya dilakukan golongan kurang celik teknologi seperti ibu bapa kita sendiri.

Menurut WABetaInfo, WhatsApp kini sedang menguji sistem carian imej secara terbina di dalam aplikasi. Ia ditemui di dalam WhatsApp binaan 2.19.73 yang sedang diuji. Terdapat menu pilihan untuk “Search Image” yang kemudiannya dimuat naik terus ke enjin carian Google Image. Dari pelayar web pengguna boleh melihat sendiri sama ada gambar tersebut sahih, telah diubahsuai atau adalah gambar dari insiden lain dengan kapsyen yang palsu.

Penyebaran berita palsu semakin dipandang serius kerana telahpun menyebabkan kematian insan tidak berdosa di India dan penyebaran berita berbaur perkauman di negara kita sendiri. WhatsApp sendiri mengambil langkah drastik mengehadkan pemanjangan mesej kepada lima kali sahaja bagi membendung masalah ini.


Komen ()