Cari @ Amanz

Selain menjadi gergasi enjin carian, Google turut mempunyai bahagian yang membangunkan perkakasan yang menggunakan sistem operasi mereka sendiri seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan pembesar suara pintar. Menurut laporan BusinessInsider, kumpulan yang membangunkan tablet dan komputer riba di Google telah dikecilkan saiznya.

Google Pixel Slate

Berdozen jurutera dan pengurus teknikal bahagian pembangunan tablet dan komputer riba yang menggunakan sistem operasi Chrome OS telah dipindahkan ke bahagian lain. Ini dilihat sebagai petanda awal perubahan hala tuju masa depan tablet dan komputer riba di Google. Tahun lalu Pixelbook dan Pixel Slate telah dilancarkan tetapi menerima kritikal hebat. Jualan Pixelbook misalnya gagal mencapai sasaran. Harga jualannya yang terlalu tinggi dengan penawaran fungsi yang terhad antara faktor ia tidak menarik perhatian pengguna.

Di dalam laporan yang sama, beberapa produk baharu yang sedang dibangunkan mungkin akan dibatalkan. Ini bukan perubahan hala tuju pertama yang mereka lakukan. Sebelum ini tablet Android dihasilkan menggunakan nama Nexus sebelum digantikan dengan Pixel C pada tahun 2015. Pixel C ialah tablet Android terakhir keluaran mereka dan ia digantikan oleh Pixel Slate yang menggunakan Chrome OS. Di Malaysia perubahan ini tidak dirasai kerana kesemua produk baharu yang disebutkan tidak pernah dijual secara rasmi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd