Cari @ Amanz

Android telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dari tahun ke tahun. Daripada sebuah sistem operasi yang sering dikaitkan dengan isu prestasi, ia kini sudah menjadi lebih pantas dengan sejumlah pengoptimasian pintar daripada Google. Android juga telah melalui perubahan antaramuka yang drastik, terutama selepas pengenalan sistem rekaan baru menerusi Material Design. Kesemua ini dijayakan dengan pembangunan Android yang pantas, melalui pengeluaran kemaskini utama untuknya pada setiap tahun.

Google pada hari ini telah melancarkan versi beta pertama untuk Android Q setelah ia diperkatakan akan hadir pada minggu ini. Versi beta pertama ini yang menariknya menyokong kesemua generasi Pixel, iaitu Google Pixel/XL, Pixel 2/XL, dan Pixel 3/XL. Berbanding tahun lalu, Android P tidak lagi menyokong Nexus 5X, Nexus 6P, dan Pixel C, sekaligus memerlukan pengguna beralih kepada peranti yang lebih terkini.

Android Q merupakan versi penambahbaikan berbanding Android P dengan sejumlah penambahbaikan antaramuka dan perkara belakang tabir. Ia merupakan kemaskini utama untuk Android, jadi ia membawa pelbagai fungsi terkini dalam menambahbaik pengalaman penggunaan peranti. Dengan pengenalan versi beta pertama ini, ia sedikit sebanyak memberi gambaran kepada pengguna dengan fungsi yang bakal dibawa melalui Android Q.

Sokongan privasi lebih baik

Fungsi kawalan lokasi ke atas aplikasi telah sedia wujud pada Android sebelum ini, namun kawalan ke atasnya adalah amat terhad. Kawalan ke atas lokasi ini sangat penting bagi mengelakkan ia disalah guna oleh aplikasi yang tidak bertanggungjawab. Apabila anda memuat-turun aplikasi baru, aplikasi tersebut akan meminta akses lokasi dengan dua perkara sahaja – sama ada ingin membenarkannya atau tidak.

Namun apabila anda membenarkan aplikasi mengetahui lokasi semasa, ia sebenarnya telah memberi ruang kepada aplikasi tersebut untuk terus menjejaki lokasi anda – walaupun ketika tidak digunakan. Aplikasi yang diberi kebenaran mengakses lokasi ini boleh menggunakan lokasi secara belakang tabir, yang mana ia cukup menghantui privasi penguna.

Bermula Android Q, paparan permintaan lokasi daripada aplikasi akan hadir dengan tiga pilihan – sama ada anda ingin menolak, membenarkan pada keseluruhan masa, atau membenarkan akses lokasi ketika aplikasi digunakan sahaja. Perkara ini telah sedia berada pada platform pesaing iaitu iOS, yang mana ia turut menawarkan fungsi dan tampilan yang hampir serupa.

Perkara ini dilihat sangat berguna apabila anda mengesyaki aplikasi sering memaparkan iklan berdasarkan lokasi berhampiran. Apabila anda berada di sekitar kawasan restoran, aplikasi yang diberi akses lokasi ini akan memaparkan promosi yang di adakan pada restoran tersebut. Dengan adanya kawalan seperti ini, ia dapat mengurangkan kerisauan anda berkenaan privasi, selain membantu menjimatkan penggunaan bateri.

Sharing Shortcuts

Android Q bakal memudahkan pengguna menghantar sesuatu perkara kepada seseorang dengan penyertaan fungsi Sharing Shortcuts. Misalnya anda ingin menghantar gambar melalui aplikasi Photos ke WhatsApp, paparan ini akan menyenaraikan senarai kenalan anda secara terus. Bermakna, anda tidak perlu menuju ke aplikasi satu per satu, sekaligus menjimatkan masa ketika anda melakukan tugasan ini.

Bagi membolehkan fungsi ini berjaya, para pembangun perlu mengemaskini aplikasi mereka untuk mengambil manfaat daripada fungsi Android Q ini. Pembangun boleh menggunakan Sharing Shortcuts API dan mengisytiharkan beberapa bahagian aplikasi untuk ditempatkan pada paparan Sharing Shortcuts. Bagi pembangun yang ingin melihat cara perlaksanaannya, anda merujuk pada bahagian Sharing Improvements di halaman Android Developers.

Settings Panel

Android Q telah hadir dengan fungsi Settings Panel yang membolehkan sejumlah tetapan dikeluarkan apabila diperlukan. Seperti contoh, apabila Chrome tidak dapat mengakses internet, paparan ini akan keluar untuk membolehkan anda menguruskan sambungan internet ini secara pantas. Daripada permasalahan ini, Android akan memaparkan beberapa perkara seperti tetapan WiFi, sambungan data, bersama mod penerbangan untuk membolehkan keupayaan internet beroperasi kembali.

Paparan ini turut boleh mengandungi sejumlah tetapan yang lain, terutama berkaitan NFC dan kawalan suara. Bermakna, paparan ini boleh ditetapkan oleh para pembangun untuk mengeluarkannya ketika peranti berada berhampiran dengan perkakasan NFC. Atau, apabila peranti disambungkan ke peranti berasaskan audio, paparan ini boleh dikeluarkan dengan menyajikan sejumlah tetapan yang berkaitan dengan kawalan pembesar suara.

Sokongan untuk peranti-boleh lipat

Tahun ini kita menyaksikan peranti boleh-lipat sudah menjadi realiti melalui perkenalan sejumlah model peranti baru. Antaranya Samsung Galaxy Fold dengan menyajikan paparan besar di bahagian dalam, yang kemudiannya boleh dilipat untuk “mengecilkan” peranti ini. Huawei juga turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan Mate X, dengan menyajikan rekaan boleh-lipat yang lebih menarik.

Namun sistem operasi untuk menyokong form-factor baru ini perlu dioptimasikan bagi membolehkan sejumlah antaramuka dijalankan dengan lebih baik. Melalui Android Q, para pembangun boleh mengoptimasikan aplikasi mereka berjalan dalam saiz paparan yang boleh diubah, untuk digunakan pada bahagian paparan yang berbeza. Dengan perletakkan berbilang paparan pada peranti boleh-lipat, aplikasi yang dioptimasikan untuk jenis ini boleh dihentikan sementara dan diteruskan mengikut keperluan.

Format gambar baru untuk sokongan bokeh

Peranti moden pada hari kebanyakannya sudah boleh melakukan simulasi penggambaran depth-of-field, dengan menghasilkan kesan kabur pada bahagian belakang subjek. Ia dijayakan dengan mengambil metadata sesuatu kedalaman gambar, dan kemudiannya menyertakan kesan kabur ini ke gambar utama.

Bermula Android Q, aplikasi kini boleh memanfaatkan fungsi Dynamic Depth untuk penyimpanan metadata kesan kabur ini dengan lebih efisien. Fungsi ini melibatkan fail JPEG dan metadata XMP yang berkaitan dengan elemen kesan kabur, disatukan di dalam satu fail.

Dengan gabungan fail JPEG bersama Dynamic Depth ini, ia membolehkan para pembangun menyertakan fungsi suntingan kesan kabur di dalam aplikasi mereka. Kesan kabur ini juga boleh digunakan dalam penghasilan imej 3D atau untuk kegunaan fotografi berasaskan AR. Apa yang menarik, Google telah menjadikan Dynamic Depth ini sebagai format terbuka, bagi membolehkan lebih banyak pengeluar menyertakan fungsi ini di dalam peranti Android Q mereka.

Perubahan paparan lock screen ketika memainkan muzik

Paparan muzik pada lock screen telah mula diperkenalkan melalui Android 4.4 KitKat pada tahun 2013. Ia membolehkan kulit album dijadikan sebagai latar belakang sementara pada lock screen, apabila sesuatu lagu dimainkan. Ia juga hadir dengan akses kawalan pantas, yang membolehkan pengguna menuju ke lagu sebelum/selepasnya, berserta kawalan untuk play/pause.

Pada Android Q, paparan lock screen ketika memainkan muzik ini mempunyai sedikit perubahan dari segi tampilan latar belakang. Paparan kulit album yang dijadikan sebagai “latar belakang sementara” telah disertakan bersama kesan kabur. Ia dilihat lebih moden, namun pastinya ada sesetengah pengguna yang kurang menyukainya.

Penambahbaikan WiFi

Keupayaan WiFi telah diberi penambahbaikan dari segi prestasi melalui pengoptimasi yang hadir pada Android Q. Ia kini telah membolehkan pengguna memilih sejumlah mod latency, dengan memilih mod berkuasa tinggi atau mod latency rendah. Penggunaan latency yang rendah dapat memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik, terutama ketika memainkan permainan atau menggunakan fungsi panggilan suara melalui internet.

Android Q juga turut menyertakan kebolehan kod QR untuk memudahkan pengguna melakukan menyambungan dan perkongsian sambungan WiFi yang disimpan. Bayangkan anda ingin memberi akses WiFi kepada rakan-rakan anda, tetapi enggan memberitahu kata laluan yang ditetapkan. Jadi dengan fungsi ini, anda hanya perlu membuka paparan “Network details” pada WiFi yang terhubung, dan tekan “Share” untuk mendapatkan kod QR. Kemudian, anda boleh meminta rakan-rakan anda mengesan kod QR ini, dengan hanya menekan butang “Add network” pada halaman tetapan WiFi.

Mod desktop

Salah satu fungsi yang masih diuji secara percubaan pada Android Q ialah keupayaan mod desktop. Untuk mengujinya, pengguna boleh menuju ke menu Developer Options dan mengaktifkan fungsi “Force desktop mode”. Apabila fungsi ini diaktifkan, aplikasi Android yang berjalan akan dipaparkan dalam bentuk tetingkap.

Fungsi ini dilihat dapat menjadikan tablet berasaskan Android Q kelak berkebolehan untuk menjadi alternatif kepada desktop. Dengan paparan aplikasi yang dijalankan dalam bentuk tetingkap, ia memudahkan pengguna menggunakan aplikasi yang berbeza secara serentak dengan sajian paparan yang lebih bebas. Namun fungsi ini dilihat masih asas, kerana ia masih diliputi dengan elemen paparan seumpama tablet.

Info jangkaan masa bateri pada quick settings

Satu fungsi yang dilihat kecil namun berguna adalah paparan jangka masa ketahanan bateri pada halaman quick settings. Fungsi ini telah berada pada halaman tetapan bateri buat sekian lama, namun pengguna perlu mengaksesnya satu per satu melalui settings. Dengan perletakkan info ini pada fungsi yang mudah diakses, pengguna boleh melihat jangka masa bateri ini secara pantas dengan hanya menurunkan fungsi quick settings ini.

Prestasi yang ditambahbaik

Dalam meningkatkan kelancaran peranti, Android Q telah menyertakan sejumlah pembaharuan untuk ART Runtime. Ia membolehkan peranti beroperasi dengan lebih pantas, disamping menggunakan memori yang lebih rendah tanpa perlu melibatkan usaha pembangunan secara luaran. Sejak daripada Android Nougat, ia telah membawakan Profile Guided Optimization (PGO) yang mana dapat mengurangkan masa pembukaan aplikasi.

Pada Android Q, ART telah diberi penambahbaikan melalui pengoptimasian proses Zygote. Ia membolehkan proses sesuatu aplikasi dijalankan dengan lebih awal, sebagai persediaan untuk melancarkannya dengan lebih pantas ketika ia dibuka. Google juga telah mengoptimasikan kelancaran aplikasi ini dengan mengurangkan proses yang tidak diperlukan (junk), sekaligus membolehkan Android Q dijalankan dengan lebih baik untuk peranti berspesifikasi rendah.

Penambahbaikan perkara lain

Beberapa penambahbaikan lain turut hadir pada Android Q seperti sokongan grafik yang lebih baik melalui penambahbaikan Vulkan API, sokongan biometrik yang lebih menyerluruh untuk aplikasi, dan penyertaan MIDI API secara natif. Android Q juga kini menyertakan beberapa kebolehan multimedia baru, antaranya sokongan codec terbuka AV1, format video HDR10+, dan format audio Opus. Kesemua fungsi yang dipaparkan hanya berada di Android Q Beta 1, dan banyak lagi fungsi dijangka akan hadir melalui versi beta yang seterusnya.


Android Q Beta telah sedia untuk diuji untuk pengguna yang menggunakan peranti Google Pixel terkini – termasuk peranti Pixel dan Pixel XL yang asalnya hadir dengan Android 7.0 Nougat. Anda boleh menuju ke halaman program Google Android Beta dan mendaftar peranti Pixel anda untuk mendapatkan kemaskini melalui over-the-air.

Mengikut tradisi sebelum ini, Android Q dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini, iaitu sekitar Ogos 2019. Google telah mengeluarkan roadmap penuh untuk pengeluaran versi beta ini, yang mana bakal mengambil tempat bermula Mac sehingga sekitar suku ketiga tahun ini. Google akan mengadakan acara Google I/O pada bulan Mei kelak, yang mana sejumlah perkara baru mungkin akan diperincikan untuk Android Q ini.

Android Q juga dijangka bakal menggunakan angka versi yang baru iai Android 10.0, namun nama akhirnya masih tidak diketahui. Dengan melihat senarai nama manisan yang bermula dengan Q, ia sedikit menyukarkan pengguna meneka nama akhir untuk versi Android ini. Bagi anda yang mempunyai idea untuk penjenamaan Android ini, apakah nama manisan yang bakal dibawa oleh Android Q ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd