Akaun Percuma Dropbox Kini Dihadkan Kepada Penggunaan Pada Tiga Peranti Sahaja Pada Sesuatu Masa

Akaun Percuma Dropbox Kini Dihadkan Kepada Penggunaan Pada Tiga Peranti Sahaja Pada Sesuatu Masa

Diterbitkan pada Mac 14, 2019 oleh .

Dropbox merupakan salah satu perkhidmatan storan awanan yang popular. Mereka mempunyai penawaran akaun percuma dan juga akaun berbayar. Terkini, ia dilihat Dropbox telah membuat sedikit perubahan dari segi sokongan peranti yang boleh dilog masuk pada sesuatu masa untuk akaun percuma.

Sebelum ini, pengguna akaun percuma boleh log masuk ke pelbagai peranti tanpa had dan menggunakan Dropbox untuk sync pelbagai fail dan dokumen padanya. Walaubagaimanapun, kini Dropbox telah mengubah perkara berkenaan, dan mengehadkan pengguna percuma kepada hanya tiga peranti sahaja.

Sekiranya ingin menggunakan lebih daripada tiga peranti pada sesuatu masa, pengguna akan diperlukan untuk menaik-taraf akaun mereka kepada pelan berbayar – atau log keluar daripada salah satu peranti sedia ada.

Had ini dilihat hanya dikuat-kuasakan untuk penggunaan aplikasi atau perisian Dropbox sahaja. Sebagai alternatif, anda masih boleh menggunakan Dropbox melalui pelayar web dan mengaksesnya tanpa tertakluk kepada had baru ini.

Untuk anda yang menggunakan Dropbox, adakah had ini akan memberikan impak kepada penggunaan storan awanan ini?


TIPS & ULASAN