Carian
Kakitangan Google Berjaya Mengira Nilai Pi Hingga Ke 31.4 Trilion Angka
March 14, 2019 Effi Saharudin

Berapakah nilai Pi? Ketika di sekolah dahulu 3.142 ialah nilai Pi yang digunakan untuk melakukan kira-kira isipadu kon dan sfera misalnya, Nilai sebenar Pi tidak akan dapat diketahui kerana ia bukanlah sebuah nombor rasional. Manusia boleh mengira hingga akhir zaman tetapi nilai tepat Pi akan berterusan. Sejak zaman Mesir purba lagi, nilai sebenar Pi cuba dikira oleh ahli matematik. Pada kurun ke-lima, ahli matematik China berjaya mengira nilai Pi hingga tujuh titik perpuluhan.

Dengan penggunaan adi-komputer, nilai Pi kini sudah berjaya dikira hingga 31.4 trilion angka. Rekod dunia ini dipegang oleh Emma Haruka Iwao yang merupakan seorang jurutera di Google Cloud. Pengumuman nilai paling tepat Pi setakat ini dilakukan sempena Hari Pi yang disambut setiap 14 Mac.

Rekod baharu ini memintas nilai sebelum ini yang hanya dikira sehingga 22.4 trilion angka pada tahun 2016. Program Y-Cruncher digunakan untuk melakukan perkiraan pada 24 mesin maya Google Cloud dan mengambil masa 121 hari.

Sekiranya nilai Pi yang tepat tidak mungkin diketahui, mengapakah ahli matematik masih melakukan kira-kira yang tidak berpenghujung ini? Jawapannya ialah bagi mencari algoritma terpantas untuk melakukan perkiraan kompleks pada sebuah adi-komputer.

Komen