Microsoft pada sebelum ini telah diperkatakan akan membawa perkhidmatan Xbox Live pada Android dan iOS. Ia agak mengejutkan sesetengah pihak, namun ia sebenarnya satu langkah yang bijak dalam menempatkan sejumlah perkhidmatan Microsoft pada platform berbeza. Pada hari ini, mereka telah mengumumkan perkhidmatan ini secara rasminya hadir pada kedua-dua platform mudah-alih utama.
Perkhidmatan Xbox Live sebenarnya sudah pun berada pada beberapa permainan Android, namun keseluruhan besarnya hadir daripada pembangun pihak pertama sendiri iaitu Microsoft Studios. Antaranya permainan Minecraft yang sedia mempunyai integrasi Xbox Live di dalamnya. Namun ia bakal berubah kerana SDK untuk fungsi ini bakal membolehkan Xbox Live diintegrasikan pada permainan daripada pembangun pihak ketiga.
Android & Apple sedia mempunyai penawaran yang serupa seperti Xbox Live, namun integrasinya kurang diberi perhatian oleh para pembangun. Apple sedia mempunyai perkhidmatan Game Center namun dimatikan sejak 2016 kerana bilangan yang memanfaatkan fungsi ini adalah rendah. Untuk platform Android, Google telah menawarkan perkhidmatan Play Games, yang dilihat masih aktif dalam membuat penyimpanan data permainan pengguna.
Oleh disebabkan pekara ini, Microsoft ingin mengembangkan Xbox Live ke platform yang lain kerana penjenamaan dan perkhidmatannya sudah sedia dikenali. Para pembangun permainan juga lebih yakin untuk mengintegrasinya kerana ia turut boleh digunakan secara rentas-peranti. Dengan pengenalan Xbox Live ini ke Android dan iOS, Microsoft nampaknya ingin memperbaharui usaha mereka dalam industri permainan mudah-alih.