Cari @ Amanz

Valve pada hari ini telah mengumumkan Steam Link Anywhere untuk membolehkan permainan PC dimainkan melalui kaedah penstriman pada peranti mudah-alih, di mana jua anda berada. Ia berbeza dengan Steam Link yang diperkenalkan pada tahun lalu, kerana ia memerlukan PC dan peranti mudah-alih dihubungkan pada satu rangkaian yang sama. Dengan penyertaan fungsi “Anywhere” ini, ia telah membolehkan pengguna menstrim permainan PC tanpa perlu bergantung kepada rangkaian setempat.

Solusi terbaru Valve ini boleh dikatakan menyerupai seperti penawaran PlayStation 4 Remote Play yang mana turut tidak memerlukan rangkaian setempat untuk menikmatinya. Menurut Valve, kebolehan Steam Link Anywhere ini dapat dijalankan selagi komputer dan peranti mempunyai kelajuan internet yang pantas.

Untuk membolehkan Steam Link Anywhere ini berfungsi, pengguna perlu mendaftar ke program beta terlebih dahulu dengan menuju ke Settings > Account > “Beta Participation” > “Change…” > dan klik pada “Steam Beta Update” melalui menu drop down. Kemudian, anda boleh mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh Valve di bawah.

  • Mengemaskini Steam Client kepada versi beta (bertarikh 13 Mac atau terkini)
  • Menambah peranti dengan menekan “Other Computer”
  • Ikuti arahan yang tertera pada skrin

Fungsi Steam Link Anywhere ini masih diperingkat beta, jadi ia mungkin terdapat sejumlah isu ketika sesi permainan dijalankan. Namun dengan kebolehan memainkan di mana sahaja, ia membolehkan anda menstrim permainan PC dari rumah, walaupun anda sedang berada di luar. Bagi anda yang ingin mencubanya pada telefon pintar, anda boleh memuat-turun Steam Link beta terkini melalui halaman APK Mirror.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd