Cari @ Amanz

Pada bulan Januari lepas, paten peranti Google dengan rekaan nirbingkai penuh tanpa takuk telah tertiris. Ia berkemungkinan adalah paten buat Pixel 4. Akan tetapi, kita sudah tahu yang rekaan penuh seperti ini masih belum sedia untuk dihasilkan – kerana masalah dengan kamera swafoto dan earpiece untuk panggilan telefon.

Ya, Samsung sudah hadir dengan sensor kamera dan pembesar suara untuk bawah skrin – tetapi ia adalah teknologi awal yang berada di fasa pertama dan dan pasti akan ada masalah. Itu sebab siri Galaxy S10 menggunakan skrin berlubang. Semalam, lakaran buat rekaan Pixel 4 tertiris oleh Slashleak. Ia dilihat menggabungkan paten sebelum ini dengan Pixel 3 dan skrin berlubang Galaxy S10+.

Phonearena kemudian, menghasilkan imej pengolokan yang tampak lebih menarik. Kod Android sendiri sudah menyokong pengimbas cap jari bawah skrin, jadi tidak hairan jika Google turut akan menggunakan teknologi ini. Tetapi, dalam kod Android masih tiada kod untuk skrin berlubang – ada kemungkinan takuk akan terus digunakan. Apa-apa pun, ini hanyalah konsep dan bukannya realiti.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd