Kita kini hidup di dalam dunia yang hampir nirwayar. Panggilan telefon boleh dilakukan menerusi telefon pintar yang tidak bersambung kepada dinding dan Internet dinikmati menggunakan WiFi. Tetapi kini sekumpulan 250 saintis mendakwa peranti nirwayar mengeluarkan gelombang elektromagnet (EMF) yang mengakibatkan kanser. Mereka telah menandatangani petisyen kepada PBB dan WHO untuk mengemaskini garis panduan pendedahan kepada EMF sedia ada.
Antara alatan nirwayar yang didakwa boleh mendatangkan kanser adalah telefon selular, telefon nirwayar dengan pemancar, WiFi, meter pintar, TV memantau bayi dan peralatan audio nirwayar. Ini bermakna aksesori fon telinga nirwayar seperti AirPods boleh mengakibatkan kanser kerana penggunaannya yang hampir kepada kepala menerusi pendedahan radiasi frekuensi-radio.
Tetapi pada waktu yang sama terdapat ahli saintis yang menyangkal dakwaan bahawa pendedahan kepada EMF boleh menyebabkan kanser. Peralatan audio nirwayar misalnya hanya memancarkan isyarat radio apabila ingin menghubungi peranti yang ditambat dan bukanya secara berterusan. Tambahan lagi beberapa kajian jangka panjang yang telah dilakukan sebelum ini mengesahkan penggunaan telefon pintar tidak meningkatkan risiko kanser pada manusia.
Pasca pelancaran AirPods dua tahun yang lalu, kerisauan ia mungkin menyebabkan kanser turut telah diutarakan. Apple segera mengeluarkan data bahawa kadar radiasi diserap tubuh oleh AirPods adalah 0.466 watts /kilogram dan adalah di bawah kadar selamat 1.60 w/kg yang telah ditetapkan oleh FCC.
Apa yang pasti kerisauan mengenai kaitan kanser dan telefon mudah alih bukan perkara baharu. Kami telah mendengar pelbagai cerita tidak sahih mengenai “bukti yang ditemui” sejak 1997 tetapi sehingga kini bukti empirikal masih belum diumumkan.