Cari @ Amanz

Google Chrome Kelak Akan Menyokong Alat Kawalan Nintendo Joy-Con

Link Copied!

Kita sudah tahu yang Google sedang membangunkan konsol permainan tersendiri. Namun, berita perkembangan mengenai konsol ini masih tidak kelihatan. Kemudian, Google mengumumkan Project Stream – yang memberi kemampuan bermain permainan video grafik tinggi melalui Chrome. Tahun ini, paten alat kawalan permainan Google telah muncul di arena web – secara terus memperlihatkan tahap serius Google dalam arena permainan digital.

Terkini, Google dilihat sedang menambah sokongan alat kawalan Nintendo Switch – Joy-Con untuk digunakan pada pelayar web mereka, Google Chrome. Perkara ini ditemui oleh Owen Williams melalui laman Chromium Gerrit. Alat kawalan Nintendo Switch Joy-Con ini adalah alat kawalan yang perlu disambung melalui Bluetooth. Ia turut boleh ditambat pada Windows atau Android. Tetapi tambatan melalui Chrome adalah satu perkara yang unik.

Ini bermakna, bukan sahaja Chrome dalam Windows akan menyokong fungsi ini. Secara teorinya, mana-mana Google Chrome dalam versi yang sama kelak turut akan menyokong sokongan alat kawalan ini. Kita sudah tahu yang Google akan menyertai acara Game Developer Conference (GDC) tahun ini. Jadi, sama-sama kita nantikan pengumuman Google mengenai berita berkaitan permainan mereka 19 Mac ini.


Komen ()