Cari @ Amanz

Malaysia Antara Peserta Akhir Bagi Cabaran Inovasi Sosial Perusahaan Alipay-NUS

Oleh Liyana

Link Copied!

Minggu lalu, tiga buah syarikat pemula dari Malaysia telah diumumkan sebagai peserta akhir bagi Cabaran Inovasi Sosial Perusahaan Alipay-NUS. Cabaran ini dilancarkan pada November 2018 melalui gandingan antara Alipay dan NUS Enterprise, bersama Universiti Nasional Singapura (NUS). Susulan cabaran ini yang ia bertujuan menghasilkan penyelesaian pengurusan sisa yang lebih inovatif kepada persekitaran.

Ketiga-tiga peserta akhir ini, iaitu BlueBee Technologies, FatHopes Energy, dan Grub Cycle telah dipilih berdasarkan mengaplikasikan teknologi digital untuk menghasilkan penyelesaian yang mesra alam dan lestari, yang mampu menjana impak positif serta meningkatkan mutu kehidupan masyarakat.

Para peserta ini akan menerima hadiah tunai bernilai SGD 10,000 (RM 30,00) untuk menyokong pertumbuhan syarikat. Selain itu, mereka akan mara ke pusingan akhir pada bulan April dan bersaing dengan para peserta dari Singapura serta Indonesia untuk merebut hadiah utama, iaitu hadiah tunai bernilai SGD 50,000 (RM 151,000). Ini adalah maklumat serba ringkas berkenaan 3 finalis syarikat pemula Malaysia:

BlueBee Technologies

BlueBee Technologies telah menubuhkan E-waste Recycling Through Heroes (ERTH) sebagai satu platform kitar semula barangan elektronik/digital (E-waste). ERTH menawarkan perkhidmatan membeli barangan elektronik peribadi yang tidak berfungsi atau akhir hayat seperti PC, komputer riba dan telefon pintar dari pengguna di seluruh Malaysia. Matlamat pengumpulan barangan lama ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan program kitar semula sampah elektronik (e-waste), dengan menggunakan saluran kitar semula yang betul. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meramalkan sampah elektronik boleh mencapai hampir tiga kali ganda sehingga 120 juta tan setahun menjelang 2050 jika tiada sebarang perubahan dilakukan sekarang.

FatHopes Energy

FatHopes Energy melancarkan peranti berhubung untuk mengumpul sisa minyak masak secara automatik. Ia dapat berkomunikasi secara berkesan dengan kenderaan pengutip untuk penghantaran ke loji penapisan, demi menghasilkan bahan bakar bio (bio fuel) yang boleh dibeli oleh pemilik kereta pada harga yang kompetitif. Melalui gandingan dengan restoran-restoran dan gerai makanan, FatHopes memastikan semua minyak masak terpakai digunakan semata-mata untuk tujuan pengeluaran bahan bakar bio yang lestari.

Grub Cycle

Grub Cycle adalah satu platform digital yang membantu pasar raya, petani dan restoran mengurangkan pembaziran makanan. Di platform ini, pengguna boleh mendapatkan lebihan makanan dari pasar raya dan petani pada harga diskaun. Pengguna juga boleh mendapatkan tawaran mengenai lebihan makanan dari restoran pada harga yang lebih murah dari pasaran. Bukan sahaja ini membantu mengurangkan pembaziran makanan, tetapi juga menyediakan penyelesaian bagi orang ramai mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup. Setakat ini Grub Cycle telah mengurangkan 7,000 kilogram pembaziran makanan, yang menjadikan penjimatan sebanyak RM 60,000 untuk penggunanya.

Rentetan itu selain ganjaran kewangan, para peserta juga akan menerima bimbingan dan sokongan daripada NUS Enterprise untuk tempoh selama tiga bulan. Malah, mereka juga dapat menikmati akses kepada BLOCK71, iaitu satu pembina ekosistem dan komuniti penghubung global yang memiliki ruangan kerja bersama di Singapura, Bandung, Jakarta, Yogyakarta, Suzhou dan San Francisco.


Komen ()