Carian
MeshMinds Menggunakan Seni Dan Teknologi Dalam Mendidik Mengenai Alam Sekitar
March 18, 2019 Aman

Pelbagai pameran menarik sering diadakan di muzium seluruh dunia. Baru-baru ini, kami telah berkesempatan melawat ArtScience Museum di Singapura, dan mengikuti pameran yang dianjurkan oleh MeshMinds.

Bagi yang tidak mengenali akan MeshMinds, ia merupakan salah satu organisasi yang memfokuskan untuk pembangunan mesra alam melalui penggunaan teknologi kreatif. Pada pameran yang diadakan di ArtScience Museum ini, mereka telah memperlihatkan penggunaan seni dan teknologi dalam mendidik orang ramai mengenai alam sekitar dan kenapa ia penting untuk dijaga dan tidak dicemari.

Sejumlah perkara telah dipamerkan bersempena dengannya, termasuk menggunakan teknologi realiti-terimbuh daripada Apple, selain menggunakan pelbagai teknologi pada peranti mudah-alih – seperti penggunaan sensor True Depth pada iPhone dan sebagainya.

Salah satunya, dinamakan Hold My Gaze menggunakan sensor True Depth pada iPhone untuk menjejak pergerakkan mata pengguna. Pameran berkenaan memperlihatkan alam sekitar yang hijau, dan sekiranya mata pengguna berkelip, ia akan mengubah paparan kepada hutan yang terbakar disebabkan oleh perbuatan manusia pada masa kini.

MeshMinds 2.0

Satu lagi pameran yang mencuri perhatian adalah The Mount That Keeps Growing yang lebih kepada menggunakan realiti-terimbuh dalam membentuk topeng wajah – sekaligus memperlihatkan pelbagai pencemaran yang dilakukan manusia masa kini. Ia mengambil inspirasi Puteri Gunung Ledang, tetapi diubah suai dalam lebih mengetengahkan kepada pencemaran alam yang dilakukan manusia masa kini.

MeshMinds 2.0

Salah satu aplikasi iPad yang turut menarik dipertontonkan adalah PaperChase AR. Melaluinya, ia menawarkan kaedah interaktif untuk pengguna mencari tong-tong kitar-semula disesuatu taman, dan pada masa yang sama menerima akses kepada sesuatu komik apabila menemui tong kitar semula disesuatu taman.

Dan dalam usaha mendidik anak muda berkenaan pencemaran laut, salah satu aplikasi percuma yang ditawarkan untuk iPhone adalah OceanScrub. Melaluinya, ia membolehkan pengguna memainkan watak haiwan pilihan, dan perlu mengelak pelbagai sampah dilaut dan memakan makanan yang sepatutnya sahaja. Ini sekaligus secara tidak langsung mendidik mengenai pencemaran alam yang membuatkan haiwan dalam lautan sukar untuk mendapatkan makanan yang betul.

MeshMinds 2.0

Kebanyakkan produk dan aplikasi yang dipamerkan diacara ini dilihat dibangunkan menggunakan sejumlah teknologi baru, seperti menggunakan iPad Pro, penggunaan teknologi realiti-terimbuh ARKit, selain menggunakan sensor pada peranti sedia ada dalam memudahkan pengguna menikmati pelbagai penawaran seni dan teknologi – selain pada masa yang sama mendidik pengguna mengenai alam sekitar.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada pihak MeshMind akan melanjutkan pameran berkenaan ke Malaysia. Sama-sama kita berharap agar pameran lebih kurang sama diadakan diperingkat tempatan – dan menjadikan sesuatu pameran lebih interaktif berbanding kebiasaan.

Komen