Kaedah penstriman permainan PC dilihat semakin popular dalam membolehkan ia dimainkan pada peranti berbeza. Ia berlaku di atas perkembangan kelajuan internet dan perkakasan yang semakin pantas dari hari ke hari. Kini, salah satu konsol daripada Microsoft iaitu Xbox One telah diberi kelebihan untuk menstrim permainan daripada komputer peribadi anda.
Perkara ini dijayakan dengan aplikasi Wireless Display yang sedia ditawarkan pada Xbox One. Microsoft baru sahaja mengemaskini aplikasi ini dengan membolehkan pengguna menstrim sejumlah permainan di PC terus kepada Xbox One. Ia melibatkan teknologi Miracast yang membolehkan kandungan daripada PC dapat dihantar ke Xbox One secara nirwayar.
This is how Microsoft’s new Wireless Display app works. You can use it to control a PC via your Xbox One, and stream PC games to the console and play them with controller https://t.co/tqtqEAZVLU pic.twitter.com/nbX5KySu0m
— Tom Warren (@tomwarren) March 13, 2019
Namun, aplikasi ini masih tidak membolehkan anda menggunakan input daripada papan kekunci dan tetikus, sekaligus tidak membenarkan anda menstrim permainan PC yang menggunakan input ini. Perkara ini mungkin akan berubah setelah Microsoft sedia menawarkan input perkakasan komputer ini pada Xbox One bermula tahun lalu.
Apa yang menarik, anda turut boleh menggunakan alat kawalan Xbox One untuk mengawal PC, sekaligus memudahkan anda membuka permainan atau melakukan aktiviti lain tanpa perlu menyentuh PC anda.
Bagi anda yang memiliki Xbox One dan ingin menstrim permainan daripada komputer ini, anda perlu membuka aplikasi Wireless Display pada Xbox One untuk menjayakan sambungan Miracast. Kemudian pada Windows 10, anda boleh membuka paparan “Project” (melalui kombinasi butang Windows + P) dan pilih peranti Xbox One yang tertera.