Google Menawarkan Permainan Carmen Sandiego Pada Perkhidmatan Google Earth

Google Menawarkan Permainan Carmen Sandiego Pada Perkhidmatan Google Earth

Diterbitkan pada Mac 18, 2019 oleh .

Google sering membawa sejumlah perkara menarik pada perkhidmatan mereka. Pada 2014, Google telah membenarkan anda menangkap Pokemon melalui Google Maps bersempena dengan April Fool. Kini, Google telah membawa sebuah permainan menarik melalui watak Carmen Sandiego pada perkhidmatan Google Earth.

Carmen Sandiego merupakan watak daripada siri permainan misteri yang telah diperkenalkan bermula 1985. Ia memerlukan anda menjadi penyiasat dalam mencari dimanakah kedudukan Carmen Sandiego ini. Baru-baru ini, pihak Netflix telah menerbitkan siri permainan ini dalam bentuk penceritaan animasi.

Pada Google Earth, ia turut membawa formula permainan yang serupa dengan memerlukan anda mencari watak utama permainan ini. Ia dilihat sangat menarik kerana ia menggunakan lokasi sebenar di Google Earth dan memerlukan anda meniliti satu per satu lokasi yang disenaraikan.

Bagi yang ingin mencubanya, anda boleh membuka pautan khas Google Earth pada Chrome di PC untuk memulakan misi pencarian Carmen Sandiego ini. Untuk anda yang menggunakan peranti mudah-alih, anda juga boleh menikmati permainan ini pada peranti Android atau iOS.


TIPS & ULASAN