Samsung Galaxy M20 Kini Ditawarkan Secara Rasmi Di Malaysia – Berharga RM799

Samsung Galaxy M20 Kini Ditawarkan Secara Rasmi Di Malaysia – Berharga RM799

Diterbitkan pada Mac 18, 2019 oleh .

Samsung dilihat ingin menawarkan lebih banyak peranti yang berpatutan pada tahun ini. Mereka sebelum ini telah mula membawa Galaxy A30 dan A50 ke pasaran tempatan, yang mana boleh didapati pada harga bermula RM799. Pada kali ini, mereka bakal melancarkan sebuah lagi peranti bajet untuk pengguna, melalui perkenalan Samsung Galaxy M20.

Samsung Galaxy M20 disasarkan bagi pengguna yang mahukan rekaan skrin dan bateri yang besar pada harga di bawah RM1000. Ia membawakan paparan PLS TFT sebesar 6.3-inci Full HD+, bersama penyertaan takuk berasaskan Infinity-V. Ia juga dijana dengan cip lapan-teras Exynos 7904, memori 4GB RAM, dan mempunyai storan 64GB yang boleh ditingkatkan melalui kad mikroSD.

Apa yang menarik, peranti ini membawa sokongan Dolby Atmos bagi membolehkan pengguna mendapatkan pengalaman audio yang lebih imersif. Ia turut didatangkan dengan pengesahan Widevine L1 untuk penstriman HD, yang mana jarang ditawarkan pada segmen peranti ini.

Dari segi keupayaan kamera, ia membawakan sistem dwi-kamera utama, melalui penggunaan sensor 13MP f/1.9 + 5MP. Sensor keduanya membolehkan pengguna menikmati penggambaran sudut ultra lebar bagi membenarkan lebih banyak subjek dimuatkan ke dalam gambar. Kamera hadapannya hadir dengan sensor 8MP f/2.0 dengan penyertaan fungsi pencantikkan wajah secara terbina.

Apa yang menjadi fokus pada peranti ini, ia membawakan ketahanan bateri yang lama melalui kapasiti 5000 mAh. Ia turut menyokong sambungan USB-C dan boleh dicas secara pantas melalui pengecas 15W yang disediakan.

Untuk pasaran tempatan, Galaxy M20 telah disenaraikan pada harga RM799 untuk variasi 4GB RAM + 64GB. Ia boleh didapati secara eksklusif di Shopee bermula 20 Mac 2019 ini, melalui kedai atas talian rasmi Samsung Malaysia.

Berita baik yang ingin membelinya, 100 pembeli pertama akan menerima baucar tunai tambahan RM100 daripada Shopee untuk pembelian seterusnya di Samsung Official Store, sejajar dengan 27.3 Shopee Mega Sale yang akan berlangsung mulai 21 Mac ini.


TIPS & ULASAN