Cari @ Amanz

Samsung Galaxy M20
Skrin 6.3” PLS TFT, FHD+, 19.5:9
Chipset Exynos 7904
CPU 4 x Cortex-A73 1.8 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
GPU Mali-G71 MP2
Memori 4GB RAM
Storan 64GB + mikroSD
Kamera Utama 13MP f/1.9 + 5MP
Kamera Hadapan 8MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 5000 mAh
Pengecasan 15W
Dimensi 156.4 x 74.5 x 8.8 mm
Berat & Ketebalan 186g, 8.8mm

Sejak kebelakangan ini, Samsung telah ditewaskan oleh beberapa pengeluar daripada China seperti Honor, Realme, dan Xiaomi bagi segmen peranti bajet yang berpatutan. Sejumlah pengeluar ini sedia menawarkan beberapa kelebihan, seperti rekaan dan spesifikasi yang lebih menarik, membuatkan mereka berjaya dalam masa yang lebih singkat. Samsung sebelum ini sedia menawarkan peranti berpatutan mereka melalui Galaxy J Series, namun sering dikaitkan dengan spesifikasi yang kurang berpatutan.

Samsung pada tahun ini dilihat ingin mengubah segmen peranti bajet mereka dengan memperbetulkan semula sejumlah penawaran yang hadir. Melihat kepada Samsung Galaxy A30 dan A50, mereka dilihat menggunakan formula yang betul dengan menawarkan rekaan dan spesifikasi yang menarik. Kedua-dua model ini juga ditawarkan pada harga yang berpatutan, yang mana masing-masing boleh didapati pada harga RM799 dan RM1199.

Pada kali ini, mereka melancarkan sebuah lagi peranti bajet untuk pengguna, melalui perkenalan Samsung Galaxy M20. Peranti ini disasarkan bagi pengguna yang mahukan rekaan skrin dan bateri yang besar pada harga di bawah RM1000. Ia juga dilengkapi dengan rekaan dan spesifikasi yang menarik, sekaligus berpontensi untuk menerima reaksi yang baik dari segi jualannya.

Rekaan

Sebagai permulaan, Samsung Galaxy M20 didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip lapan-teras Exynos 7904, memori 4GB RAM, dan storan sebesar 64GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 5000 mAh.

Samsung Galaxy M20 hadir dengan rekaan ynag ringkas di bahagian belakang, melalui tampilan binaan dalam bentuk glossy. Ia kelihatan cukup kemas dan mengingatkan saya dengan rekaan Realme 2 Pro dan ASUS ZenFone Max Pro (M2). Rekaan ini walau bagaimanapun hadir dengan binaan polikarbonat, yang mana rata-rata peranti sekitarnya turut menggunakan binaan ini. Tidak seperti kebanyakan peranti daripada China, Galaxy M20 tidak diberikan sebarang pelindung peranti percuma di dalam kotak.

Kedudukan dwi-kameranya menyerupai seperti siri Galaxy A30 dan A30, yang mana ia ditempatkan pada bahagian sisi kiri peranti. Ia juga membawakan pengimbas cap jari di bahagian ini, dengan menyajikan lokasi yang mudah dicapai. Sebagai alternatif, ia turut membawakan fungsi imbasan wajah, namun prestasinya dilihat sangat perlahan berbanding peranti pesaing.

Untuk sambungan, ia telah menawarkan sambungan USB-C pada bahagian bawah, yang membolehkan anda menyambungkan kabel USB ini pada mana-mana arah. Ia juga menyajikan sambungan bicu audio di bahagian bawah, dengan penyertaan Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang lebih imersif. Di bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada slot yang berasingan.

Rekaan hadapannya hadir dengan rekaan takuk Infinity-V dalam memberi ruang paparan yang lebih luas. Ia hadir dengan paparan PLS TFT sebesar 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah skrin 19.5:9. Walaupun tidak menggunakan panel Super AMOLED, kualiti paparannya dilihat sangat baik dengan menampilkan warna yang menyerlah untuk kegunaan harian. Rekaan takuknya juga boleh disorokkan, dengan mengaktifkannya pada halaman Settings > Display > Full Screen Apps > Hide Camera.

Dari segi variasi, Samsung Galaxy M20 ditawarkan satu variasi sahaja di Malaysia, iaitu 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Ia tidak seperti pesaingnya seperti Realme 2 Pro yang mempunyai penawaran memori setinggi 8GB RAM dan storan dalaman setinggi 128GB. Namun seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain, ia masih membawakan slot kad mikroSD sekiranya storan dalaman peranti ini tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

Samsung Galaxy M20 masih menawarkan antaramuka Samsung Experience 9.5 yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini boleh dikatakan sudah berusia setelah melihat rekaan Samsung One UI yang jauh lebih moden. Namun ada ura-ura mengatakan ia akan menerima kemaskini Android Pie bersama antaramuka baru ini, namun tiada pengesahan diterima mengenai tarikh pengeluarannya.

Samsung telah menyertakan beberapa aplikasi terbina di dalammnya, seperti Samsung Internet, Notes, dan sejumlah aplikasi Microsoft. Ia juga menyertakan fungsi one-handed mode untuk membolehkan anda mengawal peranti melalui satu tangan. Samsung turut melengkapkannya dengan kawalan berasaskan full screen gestures untuk memudahkan anda membuat navigasi, dengan menyeret jari anda dari bawah skrin ke atas. Apa yang menarik, Samsung telah menawarkan pengesahan Widevine L1 secara terbina pada peranti ini, dalam membolehkan pengguna membuat penstriman HD pada aplikasi seperti Netflix.

Prestasi

Samsung Galaxy M20 membawa cip pemprosesan yang serupa seperti Galaxy A30, melalui penggunaan cip Samsung Exynos 7904. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 2 x Cortex-A73 1.8 GHz + 6 x Cortex-A53 1.6 GHz, bersama penggunaan Mali-G71 MP2. Cip ini memberi prestasi di bawah Snapdragon 636, dengan bacaan mata 108,627 pada AnTuTu Benchmark. Penawaran memori dan storannya dilihat memadai untuk kegunaan pengguna, dengan konfigurasi 4GB RAM bersama storan 64GB.

Kamera

Dari segi kamera, Samsung Galaxy M20 membawakan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 13MP f/1.9 dan sensor kedua 5MP untuk penggambaran sudut ultra lebar. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Pada percubaan awal, keupayaan kameranya dilihat sangat baik apabila ia menerima pencahayaan yang terang. Warnanya dilihat menyerlah dan mampu memberi keperincian imej yang tajam. Namun apabila berdepan dengan situasi pencahayaan malap, kameranya mula menunjukkan kesan pelembutan (softening) yang agresif dalam mengurangkan hingar (noise) pada gambar.

Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia telah menyediakan kamera 8MP f/2.0 bagi memenuhi kegunaan swafoto anda. Ketika mencubanya secara ringkas, kualitinya dilihat sangat baik ketika digunakan diluar, namun warna kulit tetap diterangkan walaupun fungsi beautify telah dimatikan. Keupayaan Live Focus dapat memberi kesan bokeh yang baik, dengan hasilan kesan kabur yang hampir sempurna pada wajah.

Dari segi fungsi, ia masih menawarkan rakaman video 1080p@30fps berbanding rakaman berasaskan 4K. Ia juga menyajikan beberapa mod menarik, seperti panorama, beauty, Live Focus, stickers, dan continuous shot. Fungsi Pro juga turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual asas seperti pertukaran ISO, white balance, EV, dan metering.

Bateri

Dari segi bateri, ia telah didatangkan dengan kapasiti 5000 mAh iaitu kapasiti yang cukup besar apabila dibandingkan dengan pesaingnya seperti Realme 2 Pro (3500 mAh), Xiaomi Mi A2 (3010 mAh), dan Xiaomi Redmi Note 6 Pro (4000 mAh). Dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Exynos 7904, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin yang lama.

Seperti ASUS ZenFone Max Pro (M2) dengan bateri 5000 mAh, Galaxy M20 dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 7-9 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Dari segi pengecasan, ia menyokong sambungan USB-C dan boleh dicas secara pantas melalui pengecas 15W yang disediakan.

Rumusan

Samsung Galaxy M20 hadir dengan penawaran cukup hebat di dalamnya, seperti kehadiran rekaan skrin sebesar 6.3-inci bersama rekaan skrin penuh berasaskan Infinity-V. Ia juga berkebolehan dalam menggalas tugasan harian pengguna, melalui kehadiran cip Exynos 7904 bersama memori 4GB RAM. Keupayaan kameranya juga dilihat baik untuk harian, melalui sistem dwi-kamera 13MP f/1.9 + 5MP dengan penyertaan fungsi penggambaran bersudut ultra lebar.

Samsung juga telah melengkapkannya dengan Dolby Atmos bagi membolehkan pengguna mendapatkan pengalaman audio yang lebih imersif ketika disambungkan ke aksesori audio. Bagi membolehkan pengguna membuat penstriman HD, ia turut membawa pengesahan Widevine L1, iaitu suatu fungsi yang jarang ditawarkan pada segmen peranti ini. Apa yang menarik, kapasiti baterinya juga amat besar, dengan kapasiti 5000 mAh yang mana boleh dicas secara pantas melalui sambungan USB-C.

Dari segi jualan, Galaxy M20 telah disenaraikan pada harga yang cukup menarik perhatian, melalui harga RM799 untuk variasi 4GB RAM + 64GB. Berbeza dengan peranti Samsung yang lain, Galaxy M20 ditawarkan secara eksklusif di Shopee, yang mana anda boleh mendapatkannya bermula 20 Mac 2019 ini. Dengan harga yang cukup hebat ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah memberi persaingan yang hebat kepada pengeluar lain untuk menghasilkan peranti yang lebih baik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd