Apple hari ini telah mengumumkan kemaskini untuk beberapa peranti mereka, dan salah satunya adalah iPad Mini – iaitu tablet bersaiz 7.9-inci daripada Apple.
iPad Mini kini hadir dengan sokongan cip Apple A12 Bionic, sekaligus menawarkan kuasa pemprosesan yang lebih pantas, selain sokongan Neural Engine bersama-sama dengannya. Apple mengatakan iPad Mini baru ini menawarkan kuasa pemprosesan 4-kali lebih pantas berbanding iPad Mini 4 yang lepas.
Apple turut memfokuskan kepada sokongan realiti-terimbuh (AR) untuk tablet ini. Ia kini hadir dengan kamera belakang 8-megapixel yang bukan sahaja digunakan untuk merakamkan gambar, tetapi juga untuk penggunaan realiti-terimbuh. Untuk panggilan FaceTime HD pula, ia menyertakan kamera 7-megapixel.
Melengkapkan tablet ini juga adalah sokongan Retina Display – yang mana turut menyokong paparan True Tone bersama-sama dengannya, sekaligus menawarkan paparan 25% lebih jelas.
Dan akhir sekali, melengkapkan tablet ini adalah sokongan Apple Pencil. Melaluinya, pengguna boleh menggunakannya ia untuk mencatatkan nota, membuat lakaran dan sebagainya dengan mudah pada bila-bila masa. Sokongan ini juga menjadikan iPad Mini sebagai tablet paling bersaiz kompak dengan sokongan Apple Pencil.
Apple iPad Mini baru ini ditawarkan pada harga bermula RM1699 untuk model WiFi, sementara model selular pula hadir pada harga bermula RM2249. Apple Pencil boleh dibeli secara berasingan pada harga RM379.