Xiaomi pada awal tahun ini telah memperkenalkan Xiaomi AirDots, iaitu sebuah fon telinga nirwayar. Kini, sub-jenama Xiaomi, pihak Redmi hadir dengan penawaran yang lebih kurang sama dinamakan Redmi AirDots – dan menariknya adalah harganya adalah jauh lebih murah berbanding dengan Xiaomi AirDots.
Redmi AirDots hadir dengan sokongan Bluetooth 5.0, menyertakan sokongan butang kapasitif untuk mengakses pembantu digital seperti Siri dan Google Assistant, selain sokongan menghilangkan bunyi hingar ketika membuat panggilan suara. Redmi AirDots ini menawarkan masa penggunaan selama 4 jam lamanya dengan sekali pengecasan penuh.
Agak menarik untuk melihat pihak Redmi turut bersaing dengan Xiaomi dalam menyediakan penawaran yang menarik untuk pengguna. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan di China sahaja pada harga RMB99, iaitu sekitar RM60.