Black Shark merupakan salah satu syarikat ekosistem Xiaomi yang memfokuskan kepada pengeluaran peranti dengan ciri mengkhususkan permua. Terkini, hari ini Black Shark telah mengumumkan Black Shark 2 dengan pelbagai spesifikasi terkini.
Black Shark 2 hadir dengan skrin 6.39-inci AMOLED pada resolusi 1080×2340 pixel, dijana cip Snapdragon 855, Adreno 640 GPU, dan memori dengan pilihan sehingga 12GB RAM. Melengkapkan peranti ini adalah bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 4.0.
Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan dwi-kamera belakang 48MP + 12MP (telefoto), selain kamera swafoto 20-megapixel. Black Shark 2 juga dilihat hadir dengan rekaan antaramuka seumpama antaramuka asli Android tanpa penambahan antaramuka yang drastik.
Dengan fokus terhadap permua, selain spesifikasi tinggi, ia turut hadir dengan sokongan khusus. Salah satunya adalah Shark Space yang membolehkan peranti anda menyediakan memori sebanyak mungkin untuk permainan video anda. Selain itu, terdapat mod khusus yang membolehkan CPU pada peranti anda beroperasi pada tahap tertinggi, sekaligus membolehkan permua dijalankan dengan baik.
Black Shark 2 juga turut hadir dengan sokongan penyejukkan tersendiri – sekaligus memastikan peranti anda berfungsi pada kadar kuasa pemprosesan tinggi untuk tempoh masa lama. Black Shark 2 turut menyokong alat kawalan tambahan dalam membolehkan anda menikmati permua dengan lebih menarik melaluinya.
Buat masa ini, Black Shark 2 baru sahaja diumumkan di China. Dengan terdapatnya pengedar rasmi tempatan untuk model berkenaan, tidak mustahil untuk kita melihat model ini memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.