Apple pada sebelum ini telah memperkenalkan semula iPad Air dan iPad Mini dengan penambahbaikan dari segi spesifikasi. Ia kini telah dijana dengan cip Apple A12 Bionic iaitu cip yang sama digunakan pada iPhone XS, iPhone XS Max, dan iPhone XR. Namun seperti biasa, Apple tidak memperlihatkan info berkaitan dengan RAM untuk produk yang menjalankan iOS.
Mengikut bacaan Geekbench, iPad terbaru ini telah disahkan membawa kelajuan cip yang serupa seperti iPhone – melalui bacaan clock speed 2.49 GHz. Apa yang menarik, ujian penanda aras ini turut memperlihatkan penawaran memori 3GB RAM – sekaligus memberi peningkatan berbanding iPad generasi ke-6 yang dijana dengan memori 2GB RAM. Penawaran iPad baru ini juga serupa seperti iPhone XR yang sedia dilengkapi dengan memori 3GB RAM.
Dengan penggunaan RAM yang lebih tinggi, ia dapat melancarkan proses pertukaran aplikasi tanpa perlu menunggu aplikasi bersedia semula. Ia juga memberi ruang yang lebih luas untuk perletakkan sumber aplikasi dan permainan moden yang dijalankan, sekaligus memberi kadar pengoperasian yang lebih pantas.
Kedua-dua iPad baru ini telah dikemaskini dengan sejumlah perkara baru, seperti penyertaan cip Apple A12 Bionic, sokongan Apple Pencil, dan menyokong paparan True Tone. Ia juga mengekalkan beberapa perkara seperti sokongan Touch ID dan bicu audio, yang mana kedua-dua fungsi ini telah digantikan dengan Face ID dan USB-C pada iPad Pro generasi terkini.
iPad Air dan iPad mini baru ini telah disenaraikan pada halaman rasmi Apple, yang masing-masing membawa harga bermula RM2199 dan RM1699. Ia dijangka akan mula dijual di Malaysia melalui halaman dan pengedar-pengedar rasmi Apple pada akhir bulan Mac ini.