Walaupun kami kerap membuat ujian tanda aras pada sesebuah peranti bagi menguji tahap kehebatan peranti tersebut, skor itu hanyalah nombor semata-mata. Prestasi sebenar hanya boleh kita tahu dengan menggunakan peranti tersebut dan alami pengalaman penggunaannya.
Tetapi tahukah anda yang skor-skor tanda aras di mana-mana platform seperti Geekbench atau Antutu boleh dimanipulasi? Ia sebenarnya amat mudah. Terkini, seorang pembangun telah mengaku yang banyak skor tanda aras di Geekbench buat peranti yang belum lagi wujud telah diubahsuai.
Antara skor yang diubahsuai ni adalah Pocophone F1 Lite dan juga Pocophone F2. Pembangun ini mula mengaku selepas melihat banyak laman web dan blog mula melaporkan berita yang Xiaomi bakal hadir dengan siri kelas pertengahan Poco dan Poco F2 dengan RAM 4GB. Pembangun-pembangun ini adalah penggemar meme dan lakukan ujian tanda aras dengan butiran peranti Pixel 2 XL dan peranti lain yang diubah.
Ya, ia amat mudah untuk dilakukan. Butiran peranti atau device properties amat mudah untuk diubah jika sesebuah peranti itu sudah diroot. Ujian tanda aras tersebut adalah benar, tetapi nama peranti dan cip pemprosessan itu adalah tipu. Jika anda ubah device properties anda dan lakukan ujian tanda aras di Geekbench – ia akan direkodkan dan terus tersimpan di dalam pangkalan data Geekbench.
Ini tidak bermakna anda tidak boleh percaya akan skor-skor tanda aras peranti ‘baru’ yang berada di Geekbench. Ini kerana ia mustahil untuk kita tahu sama ada skor tersebut adalah dari wakil pengeluar peranti atau tidak. Anda boleh percaya akan skor-skor ini, jika terdapat informasi lain – seperti dikongsi secara terus wakil pengeluar peranti atau rakaman skrin daripada peranti itu sendiri.
Mana mungkin Google akan lancarkan siri Pixel kelas pertengahan mereka dengan Snapdragon 625? Informasi ini kami turut berterima kasih dengan wakil dari pasukan XDA – Mishaal Rahman. Jika beliau tidak hadir dengan kenyataan yang jujur sebegini, pasti lebih ramai akan keliru.