Permainan ‘Call of Duty: Mobile’ Diumumkan – Bakal Dimulakan Secara Beta Untuk Android Dan iOS

Permainan ‘Call of Duty: Mobile’ Diumumkan – Bakal Dimulakan Secara Beta Untuk Android Dan iOS

Diterbitkan pada Mac 19, 2019 oleh .

Pada tahun lalu, Activision telah memulakan ujian percubaan permainan mudah-alih Call of Duty dalam bentuk beta tertutup. Ia hanya dibuka untuk beberapa buah negara sahaja, sekaligus menyukarkan pengguna global untuk menguji permainan tersebut. Pada acara GDC yang sedang berlangsung, Activision telah mengumumkan permainan Call of Duty: Mobile ini secara rasmi yang membolehkan pengguna mengujinya dalam bentuk beta terbuka.

Activision berkongsi serba sedikit apakah yang bakal dibawa pada Call of Duty: Mobile ini. Ia diperlihatkan akan membawa pengalaman permainan seumpama era PS3 dan Xbox 360 – yang merupakan era kemuncak bagi francais permainan ini. Ia bakal menyajikan beberapa lokasi yang biasa dimainkan oleh pengguna seperti yang ditawarkan pada siri Modern Warfare dan Black Ops.

Call of Duty: Mobile membawakan corak permainan tembak-menembak kompetitif dengan memerlukan pemain bersaing antara satu sama lain. Permainan mudah-alih ini akan memfokuskan kepada perlawanan antara permain seperti mod Team Deathmatch, Search-and-Destroy, dan pelbagai lagi mod yang menarik. Namun pihak Activision tidak memberi sebarang petanda mengenai mod permainan ‘battle royale‘ akan hadir – seperti yang dilihat pada Call of Duty: Black Ops 4.

Tarikh permulaan untuk ujian beta ini masih tidak diberikan, namun dijangka akan dimulakan tidak lama lagi. Bagi pemain yang ingin menguji permainan ini, anda boleh mendaftarkan diri anda melalui halaman rasmi Call of Duty.


TIPS & ULASAN