Google Chrome Dijangka Akan Menyokong Alat Kawalan Nintendo Switch – Untuk Digunakan Pada Google Stadia

Google Chrome Dijangka Akan Menyokong Alat Kawalan Nintendo Switch – Untuk Digunakan Pada Google Stadia

Diterbitkan pada Mac 20, 2019 oleh .

Google pada sebelum ini telah memperkenalkan Google Stadia iaitu sebuah perkhidmatan penstriman permainan awanan daripada Google. Ia membolehkan pengguna melancarkan perkhidmatan ini terus daripada pelayar web Google Chrome, sekaligus tidak memerlukan pengguna memasang perisian tambahan. Sejajar dengan kebolehan ini, Google bakal menyediakan sokongan untuk sejumlah alat kawalan permainan pada Chrome – termasuk Joy-Con daripada Nintendo Switch.

Perkara ini telah diperlihatkan melalui halaman Chromium Gerrit yang menyatakan ia menyokong sejumlah alat kawalan permainan daripada Nintendo. Ia termasuk alat kawalan Switch Pro Controller, Joy-Con, dan Switch Charging Grip – yang mana kesemuanya boleh dihubungkan ke Chrome melalui sambungan Bluetooth. Apa yang menarik, Pro Controller dan Charging Grip turut boleh disambungkan ke komputer melalui sambungan USB.

Kebolehan ini dijayakan atas platform Google Stadia yang menjalankan sistem operasi Linux. Alat kawalan Switch Pro Controller pada sebelum ini telah sedia disokong pada Linux dalam bentuk experimental, dan kini, ia bakal ditawarkan secara penuh apabila Google Stadia dilancarkan kepada pengguna.

Sokongan ini sedikit sebanyak telah membolehkan pengguna menikmati Google Stadia melalui alat kawalan sedia ada. Ia tidak memerlukan pengguna membeli alat kawalan tambahan, walaupun Google ada menawarkan alat kawalan mereka tersendiri. Ia juga dapat membolehkan pengguna mengawal permainan dengan pantas, melalui kedudukan butang dan alat kawalan yang sudah biasa mereka gunakan.


TIPS & ULASAN