Sejak Android Go diperkenalkan, banyak aplikasi-aplikasi versi yang lebih ringan dilancarkan agar ia menyokong peranti-peranti dengan spesifikasi yang lebih rendah. Selain itu, aplikasi-aplikasi ‘ringan’ ini atau aplikasi-aplikasi ‘Lite’ tidak menggunakan data Internet yang banyak.
Terkini, Mozilla turut sertai trend ini melalui Firefox Lite. Ia adalah pelayar web Firefox untuk telefon pintar yang lebih ringan. Pada awal pelancaran, pelayar web ini hanya terhad di China, Indonesia, India, Filipina, dan Thailand. Kini, pengguna di Malaysia sudah boleh memuat turun pelayar web ini.
Kelebihan Firefox Lite ini bukan sahaja daripada penjimatan data Internet, tetapi juga menjimatkan saiz pemasangan pada peranti – ia hanya bersaiz 4MB. Dalam pada itu, pelayar web ini turut menawarkan ‘Turbo Mode’ untuk menawarkan pengalaman melayari web dengan lebih pantas. Ciri-ciri lain dalam Firefox versi penuh turut kekal dalam Firefox Lite seperti, menghalang iklan, privasi dan sekuriti, anti-penjejakan, muat turun laman web dan banyak lagi.