Cari @ Amanz

Tanggal 9 Januari 2007 ialah tarikh keramat dalam dunia telefon pintar. Mendiang Steve Jobs mengumumkan “sebuah iPod, sebuah telefon dan sebuah peghubung internet” (An iPod, a phone, and an Internet communicator. An iPod, a phone … Are you getting it?) di dalam sebuah peranti diumumkan kepada umum. Ia adalah iPhone pertama dilancarkan dan seperti kita ketahui sekarang mengubah dunia telefon pintar yang kini digunakan oleh kita hampir sepanjang masa. The Verge telah diberikan akses kepada prototaip awal yang diberi nama iPhone M68 secara awanama.

“M68” ialah kod nama yang diberikan kepada iPhone semasa ia dibangunkan secara rahsia oleh Apple sejak 2004. Ini adalah bagi mengelakkan projek yang akan mengubah dunia telefon pintar ini ditiru oleh pesaing. Seperti yang dapat anda lihat prototaip ini terdiri dari komponen seperti skrin, pemproses, slot SIM, kamera, butang home, bicu audio dan memori disadur pada sebuah papan induk berwarna merah. Apple menggunakan papan induk berwarna merah pada prototaip yang dihasilkan.

Dengan susunan sebegini, kesemua komponen yang digunakan untuk menghasilkan iPhone boleh diuji dengan lebih mudah. Pada waktu yang sama ia dilengkapi antena fizikal, port untuk LAN , output video component, port serial dan input kuasa DC yang tidak disertakan pada produk akhir.

Telefon pintar kini telah mengambil alih komputer peribadi sebagai komputer yang digunakan oleh orang ramai. Jadi adalah amat menarik melihat sebelum iPhone menggunakan bentuk pada sedia ada, ia kelihatan seperti sebuah papan induk komputer desktop yang besar. Apple tidak lagi menggunakan rekaan papan induk yang besar seperti ini dalam pembangunan iPhone generasi semasa. Maka adalah menarik melihat artifak bersejarah dunia teknologi yang jarang sekali dilihat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd