Google Photos adalah perkhidmatan sandaran gambar dan video menggunakan storan Google Drive. Aplikasi ini kebiasaannya siap terpasang dalam banyak telefon pintar Android dan perlu dipasang sendiri bagi pengguna iOS.
Untuk membuat sandaran gambar atau video, pengguna mempunyai dua pilihan – Original, membuat sandaran dengan storan yang dihadkan kepada 15GB (resolusi penuh, saiz asli) dan sandaran tanpa had High quality (kualiti tinggi, saiz gambar dikecilkan). Terkini, Google hadir dengan pilihan sandaran baru – Express backup.
Express backup menawarkan sandaran gambar dan video dengan lebih pantas. Ia adalah untuk pengguna yang berada di kawasan Internet yang perlahan atau bagi mereka yang ingin menjimatkan data dan ingin menggunakan Google Photos. Tetapi kekurangan sandaran ini adalah, Google akan mengurangkan resolusi dan lebih kecil dari High quality.
Pengguna turut boleh memilih tetapan, sama ada membuat sandaran melalui WiFi atau apabila menggunakan data, boleh hadkan jumlah data yang digunakan. Walau bagaimanapun, fungsi buat masa ini hanya terhad buat pengguna di India sahaja.