Cari @ Amanz

Untuk hari ketiga berturut-turut, Apple mengumumkan kemas kini ke atas produk mereka. Hari ini tiba giliran AirPods pula dikemaskini dengan sokongan pengecasan secara nirwayar. Pod simpanan merangkap pengecas Air Pods kini boleh mengecas secara nirwayar. Apple turut menawarkan pembelian pod Wireless Charging Case ini secara berasingan kepada pemilik AirPods sedia ada.

Rekaan AirPods itu sendiri tidak diberikan sebarang kemas kini sekaligus menghampakan sebilangan pengguna yang inginkan kawalan sesentuh yang lebih pelbagai pada fon telinga nirwayar popular ini. Penambahbaikan yang diberikan ialah pada perisian. Kawalan suara “Hey Siri” boleh dilakukan tanpa perlu melakukan dwi-tap pada sisi AirPods seperti sebelum ini. Dengan ini pelbagai fungsi kawalan boleh dilakukan menggunakan arahan suara. Seperkara lagi cip H1 baharu yang disertakan menurut Apple akan meningkatkan ketahanan bateri.

Di Malaysia AirPods dengan pengecas nirwayar dijual pada harga RM879 manakala pod simpanan dengan sokongan pengecas nirwayar dijual pada harga RM439. AirPods dengan pod pengecas biasa kini ditawarkan pada harga RM699, meningkat dari RM 649 sebelum kemas kini. Seperti iPhone X, XS, XS Max dan XR, Wireless Charging Case boleh dicas menggunakan format nirwayar Qi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd