Google pada acara GDC 2019 telah memperlihatkan usaha mereka dalam memeriahkan lagi industri permainan awanan. Industri ini sedang didominasi oleh Sony dan Microsoft pada ketika ini, yang mana mempunyai nilai industri mencapai $140 bilion USD. Google telah melancarkan Google Stadia pada acara GDC ini, yang membolehkan pengguna memainkan permainan berkualiti tinggi tanpa perlu mendapatkan konsol dan PC yang berasingan.
Google Stadia adalah produk akhir bagi projek permainan awanan yang dibangunkan oleh mereka sebelum ini. Ia dikenali sebagai “Project Stream” sewaktu proses pembangunan, yang mana ia mula diuji sejak Oktober 2018. Projek ini telah membenarkan pengguna menguji Assassin’s Creed Odyssey, dengan memainkannya pada resolusi 1080p terus pada pelayar web Google Chrome. Kini, Google Stadia telah ditambahbaik dengan kebolehan yang lebih menyeluruh untuk kegunaan lebih ramai pengguna.
Penjenamaan “Stadia” ini sebenarnya diambil daripada perkataan majmuk untuk “Stadium”, yang mana mencerminkannya sebagai sebuah “pusat permainan”. Dengan mengambil “pusat permainan” ini sebagai inspirasi, pengguna boleh menjadi penonton atau mengambil bahagian di dalam permainan tersebut. Melalui penjenamaan ini, ia sudah memberi gambaran bahawa Google ingin menyajikan penawaran yang berbeza berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaingnya.
https://www.youtube.com/watch?v=AffodEEF4ho
1. Menawarkan Prestasi Berkuasa
Ketika sesi pengumuman Google Stadia, Google telah mengetengahkan beberapa maklumat mengenai perkakasan yang bakal digunakan. Ia melibatkan perkakasan daripada AMD yang membolehkan kuasa pemprosesan grafik mencapai setinggi 10.7 teraflop. Kuasa ini yang menariknya adalah lebih tinggi berbanding PS4 Pro dan Xbox One X, yang mana masing-masing mencapai setinggi 4.2 teraflop dan 6.0 teraflop.
Dengan penggunaan perkakasan ini, ia membolehkan permainan berkualiti tinggi dapat dimainkan pada resolusi 4K @ 60fps. Sekiranya anda menggunakan perkakasan yang menyokong HDR, kebolehan HDR juga akan turut diaktifkan ketika anda memainkan permainan pada Stadia. Google juga telah mengumumkan sokongan 8K dengan kadar bingkai melebihi 120 fps+, dalam membuktikan Stadia sedia menyokong apa jua teknologi grafik yang hadir pada akan datang.
2. Dapat Dimainkan Terus Daripada Pelayar Web Google
Salah satu kekangan ketika ingin memulakan permainan awanan adalah perlu membuka aplikasi client untuk memulakan sesi permainan. Kadangkala, ia memerlukan pengguna mengemaskini aplikasi ini terlebih dahulu sebelum dapat dihubungkan ke permainan. Setelah sesi penstriman permainan berjaya juga, anda perlu menunggu beberapa perkara, seperti skrin masa menunggu yang lama.
Google ingin mengatasi masalah ini dengan hanya memerlukan pelayar web Google Chrome untuk memulakan sesi permainan. Pelayar web ini kebanyakannya sudah sedia di dalam komputer pengguna, jadi ia tidak memerlukan pemasangan aplikasi luaran. Dengan hanya menekan sesuatu butang atau pautan, permainan pada Stadia dapat dilancarkan dalam masa hanya 5 saat. Ia dilihat sangat pantas dan impresif, walaupun permainan yang akan dimainkan mempunyai keupayaan grafik yang tinggi.
3. Alat Kawalan Dihubungkan Terus Kepada Pusat Pengkalan Data
Bagi anda pernah menggunakan perkhidmatan permainan awanan, anda akan dapati isu lengah masa (lag) berlaku ketika anda menekan input pada alat kawalan. Perkara ini amat menyukarkan pengguna mengawal watak di dalam permainan, lebih-lebih lagi melibatkan permainan aksi pantas seperti Overwatch. Permainan jenis ini memerlukan kadar ketepatan input yang tinggi, bagi membolehkan tembakan dilakukan dengan serta merta. Sekiranya tidak, pengguna pastinya tidak dapat bersaing dengan baik kerana diganggu daripada input kawalan yang kurang responsif.
Google telah menawarkan alat kawalan tersendiri untuk mengurangkan isu ini berlaku. Alat kawalan ini yang menariknya, ia dihubungkan terus kepada pusat pengkalan data (data center) dan bukan pada peranti yang menstrim permainan. Perkara ini sekaligus mengurangkan isu lengah masa pada input yang berlaku pada perkhidmatan permainan awanan yang lain. Namun, anda perlu mendapatkan alat kawalan ini secara berasingan yang hanya ditawarkan melalui saluran rasmi Google.
4. Sokongan Platform Berbeza
Google Stadia turut memfokuskan kepada kebolehan memainkan permainan di mana-mana, asalkan ia disambungkan pada sambungan internet berkelajuan tinggi. Ia hanya memerlukan komputer yang mempunyai Chrome dan sambungan internet ini, sekaligus ia boleh dimainkan pada Windows, macOS, dan Linux. Apa yang menarik, ia turut dapat dimainkan secara mudah-alih, melalui telefon pintar atau tablet yang anda gunakan.
Kesemua perkakasan ini turut boleh ‘dihubungkan’ kepada alat kawalan Google, walaupun ia tidak disambungkan secara langsung kepada peranti. Sekiranya anda sedia mempunyai alat kawalan tersendiri, ia juga boleh disambungkan ke alat ini, asalkan ia menyokong piawaian USB HID. Baru-baru ini juga, Google Chrome telah diumumkan akan menyokong alat kawalan Nintendo Switch, yang meliputi Joy-Con dan Switch Pro Controller.
5. Google Assistant Dapat Membantu Ketika Terdapat Kesukaran Permainan
Memainkan permainan kadangkala mengundang kepada permasalahan untuk menyelesaikan sesuatu misi. Pengguna perlu mencari jalan untuk ke aras seterusnya, yang mana kadangkala memerlukan masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya. Untuk memudahkan pengguna mendapatkan ‘petunjuk’, sesetegah pengguna akan memulakan carian Google ataupun melihat video panduan melalui Youtube.
Google dilihat ingin memudahkan pengguna menyelesaikan misi sesuatu permainan dengan hanya memanggil Google Assistant. Bayangkan anda sedang terperangkap di dalam gua ketika memainkan Tomb Raider dan anda buntu dengan perkara yang perlu dilakukan. Dengan adanya Google Assistant, anda hanya perlu membuat pertanyaan yang mudah, dan Google Assistant akan menunjukkan cara melepasi rintangan tersebut. Ia akan dipaparkan di atas permainan, tanpa perlu membuka paparan lain terlebih dahulu.
6. Integrasi Ke Youtube
Youtube merupakan platform terbesar dalam menawarkan kandungan video berasaskan permainan, yang mana ia kini mempunyai 50 bilion masa tontonan secara tahunan. Google ingin meningkatkan angka ini, dengan memboleh permainan pada Stadia dapat distrim secara terus kepada perkhidmatan Youtube. Ia dapat memberi kadar penstriman yang lebih pantas dan lebih berkualiti tinggi, tanpa perlu melalui perantaraan pihak ketiga.
Para pembangun permainan juga boleh menggunakan fungsi ini dalam mempromosikan permainan mereka. Trailer permainan kini boleh diintegrasikan dengan Stadia, bagi memudahkan pengguna ‘mencuba’ permainan ini secara mudah. Fungsi ini boleh dikatakan berfungsi seumpama Google Play Instant, yang mana turut dapat melancarkan permainan dengan pantas.
7. “Crowd Play” – Youtube Creator Dapat Menjemput Penonton Untuk Sertai Permainan
Sesetengah pengguna gemar melihat video pemainan kerana ia juga adalah sebuah kandungan yang bersifat hiburan. Youtube pada saat ini juga telah menawarkan beberapa perkara, seperti ruangan chat dan kebolehan untuk memberi dana, bagi meningkatkan reaksi antara penonton dan pembuat kandungan video. Google dilihat ingin menjadikan ia menarik lagi, dengan membolehkan penonton terlibat di dalam permainan yang distrim.
Google telah menamakannya sebagai “Crowd Play” iaitu satu fungsi yang membolehkan penonton untuk menyertai permainan yang dimainkan oleh Youtube Creator. Apabila fungsi ini dibuka, para penonton yang bertuah dapat memasuki permainan dan bermain bersama pemain tersebut secara masa nyata. Penonton akan ditempatkan di dalam barisan menunggu terlebih dahulu, sebelum gilirannya tiba untuk memasuki sesi permainan.
8. Perkongsian Pautan Di Mana-Mana Untuk Memulakan Permainan – Instant Access
Bagi memudahkan pengguna yang ingin mengakses Stadia, ia dapat dilakukan dengan hanya menekan pautan yang dikongsikan oleh para pembangun. Ia boleh dikongsi melalui laman media sosial, e-mail, laman web, dan apa jua ruang yang menyokong perkongsian pautan ini. Apabila pengguna menekannya, Stadia dapat diaktifkan secara pantas tanpa pemasangan aplikasi tambahan.
9. Perkongsian “State Share”
Kemudahan perkongsian pautan juga telah membolehkan pengguna berkongsi sesuatu permainan kepada pengguna yang lain. Bayangkan anda sedang menyelesaikan sesuatu misi di dalam permainan, dan ingin pengguna lain menyelesaikan misi tersebut. Dengan kebolehan “State Share”, pengguna kini boleh berkongsi sesuatu sesi permainan, dan sesi tersebut disambungkan oleh para pengguna yang lain. Ia ibarat fungsi penyimpanan sesuatu sesi di dalam emulator, tetapi ia kini boleh dikongsi kepada pengguna yang lain.
10. Sokongan Pembangunan Permainan Yang Menyeluruh
Google telah menjalinkan kerjasama yang besar antara pembangun dalam membawa permainan ke Stadia. Mereka juga telah hadir dengan studio mereka tersendiri – melalui Stadia Games And Entertainment – dalam membawa permainan pihak pertama secara eksklusif. Stadia juga menyokong sejumlah teknologi yang berkuasa, seperti Vulkan, Unity, dan Unreal Engine dalam membolehkan permainan bergrafik intensif dijalankan pada Stadia. Google juga menyediakan kit pembangunan yang menyeluruh, yang mana boleh dibangunkan melalui komputer pembangun atau melalui ruang awanan yang disediakan oleh Google.
Google Stadia menyajikan banyak potensi dalam menjadikannya sebagai sebuah platform permainan yang berjaya. Ia mempunyai penawaran yang unik, seperti kebolehan memainkannya terus melalui pelayar web Google Chrome. Ia tidak memerlukan pengguna memasang perisian tambahan atau perlu menunggu pemasangan sesuatu permainan, dengan membolehkan permainan dilancarkan dalam masa hanya 5 saat. Tidak kira di mana anda berada atau jenis peranti yang digunakan, permainan pada Stadia dapat dibuka tanpa perlu menunggu masa yang lama.
Pengintegrasian ke Youtube juga antara fungsi unik yang hadir pada Stadia. Ia bukan sahaja dapat membuat penstriman terus ke Youtube, tetapi juga dapat menjemput penonton untuk mengambil bahagian dalam permainan yang sedang dimainkan. Sekiranya terdapat kesukaran, fungsi Google Assistant juga sedia memberi petunjuk kepada anda, untuk memudahkan anda menuju ke aras permainan yang seterusnya.
Cuma cabaran yang dihadapi pada Stadia adalah mengenai isu lengah masa dan prestasi yang terkesan daripada kelajuan internet dan perkakasan pengguna. Namun dengan peningkatan internet fiber optik dan 5G, ia mungkin dapat mengurang isu ini melalui kadar latency yang lebih rendah. Tetapi apa yang penting, Stadia perlu ada penawaran permainan yang unggul dalam membolehkan ia berjaya berbanding pesaingnya yang lain.