Cari @ Amanz

Siri Samsung Galaxy S10 adalah peranti mercu Samsung Galaxy S generasi yang kesepuluh. Dengan 10 generasi peranti mercu dalam siri ini, banyak perkara yang telah Samsung telah pelajari dan tidak dinafikan yang siri Samsung Galaxy S10 adalah telefon pintar yang terbaik yang pernah wujud di muka bumi ini.

Untuk pertama kalinya juga, Samsung Galaxy S10 dan Samsung Galaxy S10 Plus mempunyai kamera utama yang sama. Jika anda ingat pada Galaxy S9 ia hanya mempunyai satu kamera utama dan Galaxy S9 Plus mempunyai dwi-kamera. Tetapi, masih lagi terdapat perbezaan buat dua peranti ini – iaitu kamera swafotonya. Galaxy S10 mempunyai satu kamera swafoto 10MP f/1.9, manakala Galaxy S10 Plus turut menggunakan lensa yang sama – tetapi ia mempunyai lensa 2MP tambahan untuk butiran bokeh yang lebih baik. Jadi, dalam artikel ini akan saya bandingkan kamera swafoto kedua-dua peranti ini.


Ujian pertama yang saya lakukan adalah mengambil swafoto dalam keadaan yang sangat gelap.

Jika anda lihat pada gambar, Galaxy S10 Plus sedikit gelap tetapi hasil gambarnya mempunyai butiran yang baik dan mencukupi. Galaxy s10 pula, ia lebih terang dan bagi saya terlampau terang. Mungkin disebabkan hanya mempunyai satu kamera, perisian memproses gambar terlebih dan butiran kurang dan banyak hingar (noise).

Bagaimana pula dengan mengambil gambar swafoto dalam keadaan yang biasa? Anda lihat gambar di bawah, butiran Galaxy S10 Plus sedikit kurang dan ia kelihatan agak lembut. Di samping itu, Galaxy S10 mempunyai banyak butiran dan warna yang lebih terang dan nilai Dynamic Range.

Agak pelik, kenapa dalam keadaan cahaya terang Galaxy S10 lebih baik dari Galaxy S10 Plus. Pada saya, Galaxy S10 Plus kekal nampak semula jadi, tetapi Galaxy S10 seakan terlebih tajam.

Mari kita teruskan dengan mengambil gambar bokeh. gambar bokeh ini diambil pada waktu malam, sekitar 10 malam dan cahaya adalah dari lampu trafik, lampu jalan dan lampu-lampu dari bangunan.

Di sini, jelas sekali bokeh pada Galaxy S10 Plus mempunyai hasil bokeh yang lebih cantik dan kemas. Manakala pada Galaxy S10 hasil bokehnya tidak sekabur pada Galaxy S10 Plus. Ini bermakna, lensa bokeh pada kamera swafoto Galaxy S10 Plus bukanlah gimik tetapi memang mempunyai fungsi.

Kita teruskan lagi dengan sampel gambar bokeh yang lain. Kali ini, saya mencuba kawalan bokeh manual dan mengambil gambar pada waktu pagi. Dua gambar dari atas adalah tahap bokeh 7 dan dua gambar di bawah adalah tahap bokeh 3.

Pasti ramai yang sudah tahu yang peranti Pixel 2 atau Pixel 3 adalah satu-satunya peranti dengan kebolehan mengambil gambar bokeh paling cantik. Tidak dinafikan apa yang Samsung cuba lakukan ini adalah hampir sama dengan usaha Google. Bokeh kesemua gambar ini nampak kemas, butiran di keliling gambar saya tidak teruk seperti sebelum ini dan butiran wajah saya juga kekal. Dari gambar ini, saya lebih gemarkan gambar dari Galaxy S10 Plus dengan tahap bokeh 7.

Gambar seterusnya adalah swafoto biasa sambil berjalan. Kawasan dan masa yang sama seperti gambar bokeh tadi, cuma saya buka topi untuk lihat hasil keseluruhan.

Butiran di latar belakang, jelas sekali Galaxy S10 Plus lebih terang, banyak butiran, warna yang tajam dan jumlah cahaya yang baik. Akan tetapi, dalam keadaan ini pada saya Galaxy S10 adalah lebih baik. Ini kerana ia nampak lebih semula jadi dengan hasil bayang-bayang yang baik, warna yang tidak terlampau terang.

Disebabkan mod bokeh atau Live Focus pada Samsung ini turut mempunyai banyak mod, saya mencuba kesemuanya. Pada Galaxy S10 Plus terdapat tujuh mod berbeza, tetapi pada Galaxy S10 hanya terdapat empat mod sahaja.

Mod pada Galaxy S10 Plus mod-mod yang terdapat adalah; Blur, Spin, Zoom, Vintage, Side Light, Mono dan Color Point. Disebabkan setiap mod ini berada dalam Live Focus, jadi latar belakang akan kabur. Membezakannya dengan bokeh biasa adalah, terdapat corak, kesan visual menarik atau juga hitam putih. Berikut adalah contoh;

Mod pada Galaxy S10 pula hanya terdapat Blur, Spin, Zoom dan Color Point sahaja. Kesan yang hampir sama, tetapi hasil bokeh tidak akan sehebat Galaxy S10 Plus. Berikut adalah contohnya;

Perkara menarik buat siri Galaxy S10 adalah sokongan Instagram terbina pada aplikasi kamera peranti ini. Jadi adakah peranti Android yang sedia terkenal dengan video di Instagram Stories seakan kamera litar tertutup akhirnya akan menjadi cantik seakan sebuah iPhone?

Sayang sekali tidak. Mod Instagram pada kamera siri Galaxy S10 ini hanyalah satu fungsi pintasan semata-mata. Ini bermakna, pengguna hanya perlu membuka aplikasi kamera dan ambil gambar atau rakam video untuk dikongsikan di Instagram atau Instgram Stories. Kualiti Instagram Stories masih lagi seakan rakaman 3GP.

Mod terakhir yang saya uji adalah swafoto bersama rakan. Jika lebih dari seorang dalam bingkai kamera, bagaimana hasilnya? Adakah ia kelihatan ‘sempit’? Untuk menyelesaikan masalah itu, terdapat dua mod terbina – mod biasa dan mod ‘wefie‘. Berikut adalah mod biasa Galaxy S10 Plus dan Galaxy S10 dan kemudian mod ‘wefie‘ Galaxy S10 Plus dan Galaxy S10.

Hasil yang hampir seperti gambar-gambar swafoto tadi. Dalam beberapa keadaan, di mata saya Galaxy S10 lebih baik. Tetapi fokus kepada mod ini adalah, mod ‘wefie’. Tidak sehebat kamera belakang yang mempunyai sensor ultra-lebar. Tetapi agak jelas yang mod ‘wefie‘ ini sedikit lebar. Jika saya ubah posisi tangan saya, mungkin boleh muat sekitar 3-4 bersaiz sederhana orang atau mungkin 5 orang bersaiz kecil.


Dengan perbandingan gambar-gambar swafoto ini, ia kini lebih jelas sama ada adakah lensa kedua pada Galaxy S10 Plus hanya gimik atau benar-benar membantu. Tidak lupa juga, ia turut membantu untuk anda semua lihat beza kualiti gambar.

Konklusi saya, Galaxy S10 yang hanya mempunyai satu lensa akan menggunakan perisian seakan Pixel untuk memproses imej. Disebabkan itu, hasilnya kadang-kala tidak konsisten. Galaxy S10 Plus pula, hasilnya kebanyakan lebih fokus kepada pemberian butiran yang baik dan secara keseluruhan sedikit lebih lebar. Tetapi, apa yang pasti kedua-dua kamera peranti ini adalah antara yang terbaik. Pilihan mana yang terbaik, bagi saya itu adalah mengikut cita rasa masing-masing. Saya, lebih gemarkan Galaxy S10 Plus. Anda bagaimana?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd