Carian
Pandang Pertama: Realme 3 – Helio P60, Bateri 4230 mAh, Dijual Bermula RM599
March 21, 2019 Arib Ismail

Realme 3
Skrin 6.22” IPS LCD, HD+, 19:9
Chipset MediaTek Helio P60
CPU 4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 3GB / 4GB RAM
Storan 32GB / 64GB + mikroSD
Kamera Utama 13MP f/1.8 + 2MP
Kamera Hadapan 13MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 4230 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 75.6mm x 156.1mm x 8.3mm
Berat & Ketebalan 175g, 8.3mm

Pada minggu ini kita menyaksikan banyak pengeluar telah melancarkan peranti mereka untuk pasaran tempatan. Antara yang menjadi perhatian adalah penawaran daripada Samsung, kerana mereka mampu menawarkan peranti yang berpatutan melalui siri Galaxy A dan Galaxy M20. Xiaomi pula pada tahun ini telah menjadikan Redmi sebagai jenama berasingan, dengan menyajikan Redmi Note 7 dan Redmi 7 untuk bersaing dalam segmen ini. Pada hari ini, peranti Realme 3 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia untuk memeriahkan lagi segmen kelas pertengahan ini.

Bagi anda yang kurang mengenali Realme, ia merupakan sub-jenama di bawah OPPO yang memfokuskan kepada penawaran peranti yang berpatutan. Mereka pada sebelum ini telah menawarkan Realme 2 dan Realme 2 Pro untuk pasaran tempatan, dengan membawa spesifikasi berkuasa pada harga mampu-milik. Ia juga hadir dengan rekaan yang menarik, sekaligus ia direka untuk kesemua golongan usia.

Realme 3 adalah peranti penambahbaikan bagi Realme 2, dengan membawa perubahan dari rekaan dan spesifikasi. Rekaan Realme 3 dilihat telah mengikuti trend pada masa kini, dengan menampilkan warna cerun dan rekaan takuk yang lebih kecil. Apa yang menarik, cip pemprosesannya telah dinaiktaraf kepada cip yang jauh lebih berkuasa, dengan dua kali ganda lebih pantas berbanding Realme 2. Ia dilihat mempunyai pakej yang menarik, apatah lagi harga jualannya boleh didapati bermula RM599.

Rekaan

Sebagai permulaan, Realme 3 menawarkan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin IPS LCD pada saiz 6.22-inci, cip MediaTek Helio P60, pilihan memori 3GB/4GB RAM, dan pilihan storan sebesar 32GB/64GB bersama slot mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 4230 mAh.

Rekaan belakangnya hadir dengan susunan kamera pada bahagian kiri, dengan perletakkan pengimbas cap jari di bahagian tengah. Bahagian kameranya telah mempunyai bulatan “Realme ring” berwarna kuning, yang mana mengingatkan saya kepada rekaan kamera pada Xiaomi Mi 9. Rekaan belakang ini juga diperkemaskan dengan warna cerun yang menarik, namun binaannya masih tampil dengan bahan berasaskan polikarbonat. Ia juga dilihat mudah memerangkap kesan cap jari, namun boleh diatasi dengan kerangka lutsinar yang diberikan secara percuma.

Dari segi sambungan, ia masih mengekalkan sambungan micro-USB pada bahagian bawah, berbanding sambungan USB-C yang sudah digunakan pada kebanyakan peranti kelas ini. Di bahagian bawah ini turut menyajikan sambungan bicu audio, bersama-sama saluran pembesar suara berasaskan mono. Di bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim, yang membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim berasingan.

Rekaan hadapannya hadir dengan paparan berskrin penuh sebesar 6.53-inci FHD+, dengan panel berasaskan LTPS LCD. Kualiti paparannya dilihat sangat baik, yang mana ia memberi warna yang lebih terang berbanding skrin IPS LCD biasa. Bagi menjayakan rekaan skrin penuh ini, ia telah disajikan dengan takuk titisan air bagi perletakkan kamera hadapan. Untuk sokongan earpiece dan sensor proximity pula, ia telah ditempatkan pada garisan yang sangat kecil iaitu di bahagian atas skrin peranti.

Dari segi variasi, Realme 3 ditawarkan dalam dua variasi untuk pasaran Malaysia, iaitu bermula 3GB RAM dengan storan dalaman 32GB. Ia juga menyajikan variasi yang lebih tinggi, iaitu dengan memori 4GB RAM dan storan 64GB. Walaupun tidak menawarkan variasi dengan storan 128GB, ia masih membawakan slot kad mikroSD dengan sokongan sehingga 256GB, sekiranya storan dalaman peranti ini masih tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

Realme 3 telah didatangkan dengan antaramuka ColorOS 6.0, yang dibina berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie. Antaramuka ini telah diberi perubahan yang besar berbanding sebelum ini, yang kini digarap dengan sejumlah elemen yang ringkas dan moden. Ia juga telah menawarkan pilihan untuk pengguna mengaktif dan mematikan talam aplikasi, seperti yang sedia ditawarkan pada peranti Honor dan Huawei.

Iterasi Color OS ini telah membawa perubahan tampilan pada aplikasi terbina, yang kini merangkumi penggunaan warna cerun moden bersama font yang lebih unik. Talam notifikasinya juga kini hadir dalam bentuk baru, dengan penyertaan sejumlah butang kawalan yang hadir dalam bentuk segi empat yang membulat. Color OS 6.0 ini juga telah membawa sebanyak 20 penambahbaikan pada sistem, dalam membolehkan peranti beroperasi dengan lebih pantas.

Prestasi

Realme 3 telah ditingkatkan kepada cip MediaTek Helio P60, setelah menawarkan cip kelas permulaan Snapdragon 450 pada Realme 2. Helio P60 membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Cortex-A73 2.0 GHz + 4 x Cortex-A53 2.0 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G72 MP3. Cip ini juga dilihat telah dibina berasaskan 12nm, sekaligus memberi penjimatan tenaga yang lebih baik untuk bateri. Apabila dibandingkan, prestasi cip ini telah berjaya melepasi cip Samsung Exynos 7904 pada Galaxy A30, dan berada di bawah cip Qualcomm Snapdragon 660 pada Redmi Note 7.

Kamera

Dari segi kamera, Realme 3 membawa sejumlah pembaharuan berbanding model sebelum ini, melalui padanan sensor utama 13MP (f/1.8, 1/3″, 1.12µm, PDAF) dan sensor kedua 2MP untuk kebolehan Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS) dan sistem penstabilan elektronik (EIS), sekaligus tidak dapat mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Berbeza dengan Realme 2, aperture pada sensor utama Realme 3 ini telah dipertingkatkan, yang kini membawa aperture sebesar f/1.8. Aperture yang lebih besar ini mampu mengambil cahaya dengan lebih lagi, sekaligus membolehkan gambar pencahayaan rendah diambil dengan lebih baik. Melalui percubaan awal, gambarnya kini kelihatan lebih terang dan kurang menghasilkan kesan noise berbanding Realme 2.

Seperti peranti OPPO terkini, Realme 3 telah diberi fungsi penggambaran malam khas melalui fungsi Nightscape. Ia dapat menghasilkan gambar malam yang lebih mengagumkam, melalui teknik tangkapan slow shutter 4 saat yang distabilkan melalui AI. Fungsi ini beroperasi seumpama fungsi Night Mode pada peranti Huawei, dengan memerlukan pengguna memegang peranti selama 4 saat untuk menjayakannya.

Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia telah ditingkatkan kepada kamera 13MP f/2.0, berbanding 8MP f/2.2 pada Realme 2. Hasilan swafotonya kini dilihat lebih jelas, disamping menyajikan keperincian imej yang lebih tajam. Hasilan Portrait Mode untuk kamera hadapan ini juga dilihat baik, dengan kemasan kesan kabur yang hampir sempurna.

Dari segi fungsi, Realme 3 masih tidak menawarkan rakaman 4K dengan hanya menyajikan akaman video 1080p@30fps. Ia juga menyajikan beberapa mod menarik, seperti panorama, time-lapse, slo-mo, dan Google Lens. Fungsi Expert juga turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran exposure, white balance, fokus, dan EV.

Bateri

Dari segi bateri, ia masih menawarkan kapasiti 4230 mAh iaitu kapasiti yang sama pada Realme 2. Kapasiti ini dilihat besar dan setanding dengan peranti sekelasnya seperti Redmi 7 (4000 mAH). Dengan penggunaan cip 12nm menerusi cip MediaTek Helio P60, ia dijangka dapat memberi penggunaan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.

Dengan kapasiti besar dan padanan cip 12nm, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 6-8 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Namun dari segi pengecasan, ia tidak menampilkan sebarang sokongan pengecasan pantas, dengan memerlukan pengguna bergantung kepada pengecasan 10W.

Rumusan

Realme 3 menawarkan sebuah lagi peranti bajet alternatif dengan penawaran yang besar untuk harganya. Ia membawakan rekaan yang menawan, yang mana digarap dengan kemasan warna menarik pada bahagian belakang. Rekaan hadapannya mempunyai paparan skrin penuh yang moden, dengan menyajikan nisbah binaan-ke-skrin settinggi 88.30%. Ia juga dapat memberi ketahanan bateri yang lama, dengan penawaran bateri yang cukup besar melalui kapasiti 4230 mAh.

Realme 3 juga antara salah satu peranti termurah dengan kehadiran cip MediaTek Helio P60. Cip ini terkenal dengan penawaran prestasi yang pantas, disamping dapat memberi penjimatan tenaga untuk ketahanan bateri yang lama. Keupayaan penggambarannya juga telah ditingkatkan kepada aperture f/1.8, yang membolehkannya mengambil gambar dengan lebih terang. Ia juga salah satu telefon termurah dengan sokongan Nightscape, untuk kebolehan mengambil gambar malam dengan lebih terang.

Realme 3 dilihat berpontesi dalam menarik minat ramai pengguna atas kehadiran rekaan dan spesifikasi yang hebat. Peranti ini diumumkan pada harga bermula RM599, bagi variasi 3GB RAM dengan storan 32GB. Bagi anda yang ingin mendapatkan penggunaan yang lebih berkuasa, variasi lebih tinggi telah disenaraikan pada harga RM699, dengan penyertaan memori 4GB RAM dan storan 64GB. Kedua-dua variasi ini bakal dijual bermula 27 Mac ini di Lazada dan 6 April untuk jualan melalui pengedar-pengedar tempatan.

Komen