WhatsApp adalah aplikasi permesejan yang agak popular. Aplikasi ini dimiliki oleh Facebook yang mana turut memiliki Instagram. Pada awal bulan lepas, Facebook dilaporkan ingin menggabungkan ketiga-tiga aplikasi permesejan WhatsApp, Facebook Messenger dan Instagram (DM) menjadi satu. Tetapi itu hanya mungkin akan berlaku pada tahun 2020 kelak.
Terkini, Facebook Messenger telah menerima satu fungsi yang telah hadir pada WhatsApp sejak 2016 – memetik mesej rakan sebelum membalasnya. Atau bagi pemahaman yang mudah, fungsi ‘Quote’ mesej. Melalui kemaskini bahagian pelayan, pengguna kini boleh petik mesej rakan sebelum membalas. Ia agak memudahkan pengguna, lebih-lebih lagi dalam perbualan yang panjang atau juga perbualan berkumpulan.
Cara penggunaan yang serupa, pengguna hanya perlu tekan mesej yang ingin dipetik dan kemudian tekan ikon ‘reply‘ yang berbentuk anak panah berpusing, taip mesej dan tekan balas. Cara lain adalah, pengguna hanya perlu menatal mesej ke kanan untuk petik dan balas.
Fungsi ini juga mungkin adalah langkah awal Facebook untuk menggabungkan ketiga-tiga aplikasi permesejan tadi. Facebook Messenger sudah mempunyai fungsi seakan WhatsApp, akan datang apa pula perubahan yang bakal berlaku?