Carian
Cache Laman Web Samsung Mengesahkan Galaxy A90 Bebas Takuk
March 22, 2019 Fahim Zahar

Samsung sedia terkenal dengan rekaan peranti mereka tersendiri dan kekal dengan rekaan bebas takuk. Tetapi Samsung akhirnya tewas dengan kehadiran peranti kelas pertengahan Galaxy M20 dan Galaxy A30/A50 yang mempunyai takuk. Untuk peranti mercu mereka, Samsung menggunakan rekaan skrin berlubang.

Tetapi, sedar akan perasaan kecewa peminat – Samsung cuba mencari solusi untuk hadir dengan peranti bebas takuk. Peranti tersebut adalah Galaxy A90. Pada awalnya, ia hanyalah satu ura-ura – tetapi sumber telah berjaya menemui cache laman web Samsung yang mengesahkan Galaxy A90 adalah peranti bebas takuk mereka.

Dengan rekaan tanpa takuk ini, Samsung dikatakan akan menggunakan sistem kamera periskop boleh-putar seakan Oppo N1. Di mana kamera swafoto dan kamera utama adalah dari lensa yang sama yang dikatakan adalah 48MP. Tidak cukup dengan itu, Samsung dilihat ingin cuba mengikut strategi pengeluar seperti Xiaomi – kerana ingin hadir dengan peranti berkuasa pada harga mampu milik.

Menurut sumber, peranti ini mungkin akan dijana cip Snapdragon 855 yang dipadankan dengan RAM 6/8 GB dan storan 128GB. Bateri pula dijangka hadir dengan kapasiti 3700mAh dengab sokongan pengecasan pantas. Buat masa ini, peranti kelas pertengahan premium Samsung paling berkuasa adalah Samsung Galaxy A50.

Galaxy A90 atau Galaxy A80 (untuk pasaran China/Korea) dijadualkan akan dilancarkan pada 10 April kelak. Sama-sama kita nantikan.

Komen