Facebook Mendapati Mereka Tersimpan Ratusan Juta Kata Laluan Dalam Bentuk Teks Biasa

Facebook Mendapati Mereka Tersimpan Ratusan Juta Kata Laluan Dalam Bentuk Teks Biasa

Diterbitkan pada Mac 22, 2019 oleh .

Facebook hari ini berkongsi, mengatakan melalui semakan sekuriti yang dilakukan pada awal tahun 2019 ini, mereka mendapati yang mana sejumlah kata laluan telah disimpan dalam bentuk teks biasa pada sistem storan data mereka. Facebook mengatakan mereka telah pun mengatasi perkara berkenaan.

Kata laluan kebiasaannya akan disulitkan terlebih dahulu ketika disimpan dalam sistem – bagi memastikan ia tidak dapat dibaca dengan mudah.

Facebook mengatakan ratusan juta pengguna Facebook Lite terkesan, selain puluhan juta pengguna Facebook, dan ratusan ribu pengguna Instagram.

Pada masa yang sama, Facebook turut mengatakan yang mana kata laluan ini tidak dapat diakses dari luar ketika kejadian berkenaan berlaku. Facebook juga mengatakan mereka tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kelemahan sekuriti ini telah disalah-guna buat masa ini.

Facebook mengatakan akan memberi notifikasi untuk pengguna berkaitan. Seperti biasa, pengguna digalakkan mengaktifkan sokongan pengesahan dwi-faktor bagi mengelak akaun mereka diceroboh pihak ketiga – atau terdedah kepada masalah sekuriti.


TIPS & ULASAN