Carian
Sejumlah Peranti Nokia 7 Plus Didapati Menghantar Data Sensitif Ke China
March 22, 2019 Arib Ismail

Isu pemberian dan penggunaan data secara tidak sah adalah satu isu yang sensitif bagi masyarakat moden hari ini. Ia mengakibatkan sesetengah info peribadi pengguna digunakan tanpa kebenaran seperti tujuan pengiklanan, risikan, dan pelbagai perkara yang lain lagi. Menurut laporan terbaru, sejumlah peranti yang dihasilkan oleh HMD Global iaitu Nokia 7 Plus telah terkesan dengan permasalahan ini.

Peranti Nokia 7 Plus merupakan salah sebuah peranti kelas pertengahan yang diperkenalkan pada Mac 2018. Ia menawarkan rekaan premium, keupayaan kamera dengan lensa ZEISS, dan hadir dengan kapasiti bateri besar. Peranti ini menerima sambutan yang hangat di China, yang mana sebanyak 250,000 unit peranti ini telah habis dijual dalam masa hanya 5 minit.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh salah sebuah institusi berita di Finland iaitu NRK, peranti ini sering menghubungi pusat pengkalan data di China. Kemudiannya, peranti ini menghantar sejumlah paket data yang tidak disulitkan (unencrypted) sebaik sahaja peranti ini dihidupkan. Ia didakwa menghantar posisi GPS, nombor SIM pengguna, dan nombor siri peranti ke sana.

HMD Global mengesahkan laporan ini dengan mengatakan ia adalah satu kesilapan dalam proses penghantaran kemaskini. Ia sepatutnya dihantar untuk pengguna Nokia 7 Plus di China, namun ia tersalah hantar ke pusat pengkalan data yang berada di luar negara China. HMD Global memaklumkan lagi, mereka akan mengedarkan kemaskini baru untuk semua pengguna Nokia 7 Plus bagi menangani isu ini.

Komen