Cari @ Amanz

Windows 7 masih lagi antara salah satu sistem operasi yang masih aktif digunakan pada saat ini. Ia telah dilancarkan pada tahun 2009, dan ia bakal mencecah usia 10 tahun pada Julai ini. Microsoft sebenarnya tidak lagi memfokuskan kepada pembangunan Windows 7 secara aktif, dan kini, mereka mula mengeluarkan notifikasi mengenai penamatan sistem operasi ini.

Notifikasi ini telah disertakan melalui kemaskini kecil yang dikeluarkan oleh Microsoft untuk pengguna Windows 7. Ia dikeluarkan dalam bentuk tetingkap dengan memaklumkan sistem operasi ini bakal ditamatkan pada 14 Januari 2020. Microsoft masih memberi pilihan “Do not remind me again” bagi mengelakkan pengguna berasa terganggu dengan paparan ini pada akan datang.

Microsoft mengesyorkan untuk pengguna beralih ke Windows 10 yang sedia mempunyai sokongan kemaskini yang aktif. Selepas tarikh 14 Januari 2020, Microsoft tidak lagi memberi kemaskini berkaitan sekuriti pada Windows 7, sekaligus mengundang kepada isu pencerobohan dan penggodaman data. Sebarang sokongan melalui telefon juga tidak akan dilayan, sehingga pengguna mengemaskini komputer ke Windows 10.

Windows 7 masih aktif digunakan kerana ia masih lagi menyajikan sebuah sistem operasi yang stabil. Ia kurang memberikan masalah dan sokongan aplikasi untuknya masih lagi dibangunkan sehingga kini. Namun selepas Januari 2020, ia mungkin akan terdedah kepada serangan berbahaya dan sangat disarankan untuk pengguna beralih ke sistem operasi yang lebih moden.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd