Xbox One S ‘Tanpa Pemacu Cakera Blu-Ray’ Dilaporkan Akan Hadir Pada Bulan Mei Ini

Xbox One S ‘Tanpa Pemacu Cakera Blu-Ray’ Dilaporkan Akan Hadir Pada Bulan Mei Ini

Diterbitkan pada Mac 22, 2019 oleh .

Penggunaan internet yang pesat telah menimbulkan idea kepada Microsoft untuk menawarkan sebuah konsol tanpa pemacu cakera. Pada hari ini juga, ada sesetengah pemain sudah mula beralih kepada permainan digital sepenuhnya berbanding permainan fizikal. Ia mudah untuk dibeli dan boleh dilancarkan dengan lebih pantas tanpa memerlukan pengguna meletakkan cakera Blu-Ray terlebih dahulu. Dengan idea ini, Microsoft dijangka akan hadir dengan Xbox One S baru pada bulan Mei ini – tanpa perletakkan pemacu cakera Blu-Ray padanya.

Konsol yang bakal diperkenalkan ini bakal membawa penjenamaan Xbox One S All-Digital dengan penawaran permainan digital sahaja. Ia berfungsi sama seperti Xbox One S sedia ada, cuma ia tidak lagi membawa pemacu fizikal bersama butang ‘eject‘ pada bahagian hadapan. Melalui imej kotak jualan yang tertiris, Microsoft turut menempatkan simbol ‘tanpa cakera’ pada bahagian hadapan kotak konsol ini.

Xbox One S All-Digital dijangka hadir dengan storan permulaan 1TB, dengan membolehkan pengguna meletakkan lebih banyak permainan berbanding edisi permulaan 500GB pada sebelum ini. Ia bakal disertakan dengan tiga permainan popular, seperti Forza Horizon 3, Sea of Thieves, dan Minecraft melalui kod yang diberikan secara percuma.

Dengan tidak lagi menempatkan pemacu fizikal, Microsoft dapat mengurangkan lagi harga jualan Xbox One S yang sedia ditawarkan pada harga rendah. Harga Xbox One S pada saat ini sudah pun berada di bawah RM1000, namun Microsoft ingin meningkatkan lagi angka jualannya. Dengan pengenalan Xbox baru ini juga, ia dapat menggalakkan pemain untuk melanggan Xbox Game Pass, dengan membolehkan pemain menikmati lebih 1300+ buah permainan melalui sistem langganan.


TIPS & ULASAN