Sejumlah besar jaringan sosial masih tidak menyokong fungsi perkongsian Live Photos sehingga hari ini. Ia membuatkan perkongsian menjadi gambar statik sahaja tanpa sebarang pergerakan yang menarik. Namun Twitter dikatakan sedang menguji fungsi ini dan mungkin akan memperkenalkannya pada akan datang.
Perkara ini telah diperlihatkan melalui kod yang terdapat pada Twitter for iOS, dengan menerangkan ia menyokong Live Photos. Bermakna, Twitter kelak akan membolehkan pengguna menghantar dan melihat Live Photos ini melalui proses pertukaran gambar menjadi format GIF.
😮 Twitter testing a Live Photo to GIF feature for iOS ?
I assume meaning you can attach Live Photo’s on your iPhone to a tweet and it gets auto-converted to a GIF. pic.twitter.com/GcpfvJfZjO
— Matt Navarra (@MattNavarra) March 21, 2019
Buat masa ini, sekiranya pengguna ingin menghantar gambar ke Twitter, pengguna perlu menuju aplikasi Photos dan menukar Live Photos ini menjadi Loop atau Bounce. Selepas salah satu animasi ini dipilih, pengguna boleh melakukan perkongsian ke Twitter dengan menukarkannya menjadi format gambar GIF. Perkara ini agak sedikit melecehkan, membuatkan perkongsian gambar Live Photos ini jarang dihasilkan secara manual.
Bagi yang kurang mengenali Live Photos, ia membolehkan pengguna melihat gambar bergerak dengan menekan lama pada gambar tersebut untuk seketika. Ia dijayakan dengan mengambil video ringkas selama 3 saat, iaitu 1.5 saat pada sebelum dan selepas setiap kali gambar diambil. Ia telah diperkenalkan melalui pelancaran iPhone 6S pada tahun 2015, dan kemudiannya digunakan pada versi iPhone terkini.
Twitter masih lagi tidak memberi sebarang tarikh mengenai sokongan Live Photos akan hadir pada perkhidmatan mereka. Disebabkan ia masih difasa ujian, ia mungkin akan dibuang sekiranya sokongan ini kurang relevan untuk diletakkan pada perkhidmatan mereka. Namun setelah melihat Facebook yang sedia menyajikan sokongan ini sejak 2015, Twitter mungkin akan turut menawarkannya dalam membolehkan perkongsian gambar menjadi lebih menarik.