Carian
HMD Global Menerangkan Isu Nokia 7 Plus Menghantar Data Peribadi Ke China
March 23, 2019 Effi Saharudin

Semalam laman NKR dari Finland mendapati sebilangan Nokia 7 Plus yang dijual di Eropah menghantar data peribadi ke pelayar di China. Ini jelas melanggar undang-undang GDPR yang diperkenalkan tahun lalu. HMD Global pantas memberikan kenyataan rasmi mengenai isu ini dan telah menjelaskan apa yang berlaku dengan lebih lanjut.

Menurut mereka perisian pengaktifan peranti untuk kegunaan di China secara tidak sengaja telah digunakan pada Nokia 7 Plus di China. Ini hanya melibatkan sekumpulan peranti yang dihasilkan oleh mereka. Kesilapan telah disedari dan dibaiki menerusi kemas kini yang diberikan pada Februari 2019. Menurut HMD Global lagi, tiada sebarang maklumat telah dikongsi dengan pihak ketiga akibat kesilapan ini.

Tambah mereka lagi, data yang dikumpul adalah untuk tujuan mengaktifkan tempoh jaminan, melakukan diagnostik, meningkatkan kepuasan pengguna dan meningkatkan pengalaman produk. Peranti HMD Global yang dijual pada pasaran global menghantar data yang dikumpul ini ke pelayar yang terletak di Singapura. Pelayar yang diselenggara oleh Amazon AWS ini menepati keperluan privasi yang ditetapkan oleh GDPR.

Peranti yang dijual di China pula menghantar maklumat ke pelayar di China bagi mematuhi untuk-untuk keselamatan siber negara tersebut. Jika anda membeli peranti Nokia di China, data akan dihantar ke China walaupun anda tidak tinggal di negara tersebut.

Komen