Carian
Peti Sejuk Samsung Family Hub Dengan Skrin Sesentuh Turut Dilancarkan Untuk Pasaran Asia Tenggara
March 25, 2019 Effi Saharudin

Pengenalan peti sejuk lebih enam puluh tahun yang lalu mengubah kehidupan manusia moden. Mereka tidak lagi perlu ke pasar setiap hari untuk makanan segar dan membolehkan penjualan makanan secara besar-besaran yang lebih tahan lama kerana dibekukan. Bermula dengan kotak satu pintu, peti sejuk berevolusi selari dengan pengguna yang mengintegrasikan pelbagai peranti pintar dalam kehidupan seharian. Samsung Family Hub ialah peti sejuk pintar yang buka sahaja menyimpan makanan, malah dilengkapi skrin sesentuh gergasi dan kemampuan peranti berhubung.

Model terkini Samsung Family Hub dilancarkan untuk rantau Asia Tenggara ini dengan pelbagai penambahbaikan. Ia boleh dikawal menggunakan sistem arahan suara Bixby terkini, menunjukkan kandungan di dalamnya pada pelbagai peranti Samsung (seperti televisyen pintar) dan memberikan pelbagai saranan resipi makanan berdasarkan bahan mentah yang telah dibeli.

Perkara menarik lain yang boleh dilakukan ialah memainkan video dari YouTube, menstrim muzik menerusi aplikasi Spotify, menunjukkan status pelbagai peranti berhubung di rumah (menerusi widget) dan menunjukkan video litar tertutup pada skrin gergasi sesentuh yang disertakan. Sistem operasi yang digunakan ialah Tizen 3 yang menjadi tulang belakang ekosistem Samsung SmartThings sebelum ini.

Dengan Family Hub, sekali lagi peranti pintar berubah mengikut keperluan semasa. Ia bukan lagi sekadar peti menyimpan makanan tetapi menjadi pusat tumpuan pelbagai aktiviti di rumah. Walaupun diumumkan untuk pasaran Asia Tenggara, pelancarannya untuk pasaran Malaysia masih belum disahkan buat masa ini.

Komen