Kereta Tesla Model 3 Berjaya Digodam Pada Acara Pwn2Own 2019

Kereta Tesla Model 3 Berjaya Digodam Pada Acara Pwn2Own 2019

Diterbitkan pada Mac 25, 2019 oleh .

Tesla terkenal dengan pembangunan dan pengeluaran kenderaan berasaskan elektrik. Kenderaan yang dikeluarkan oleh mereka ini mempunyai tahap sekuriti yang tinggi, sekaligus menyukarkan penggodam memintas sistem kenderaan. Namun, salah sebuah pasukan pakar sekuriti telah berjaya menggodam Tesla Model 3 ini pada hari terakhir acara Pwn2Own 2019 berlangsung.

Pasukan ini dikenali sebagai Fluoroacetate yang terdiri daripada dua orang ahli iaitu Amat Cama dan Richard Zhu. Mereka berjaya menggodam Model 3 melalui pelayar web yang disertakan bersama papan pemuka (dashboard) kereta ini. Mereka menggunakan pepijat JIT untuk melancarkan kod pada firmware kereta, dan kemudiannya, memaparkan sebuah mesej pada sistem inforia terbina.

Kejayaan ini membuat mereka berdua dapat menyimpan kereta Tesla Model 3 ini dan menerima wang tunai sebanyak $35,000 USD sebagai ganjaran. Pwn2Own sebenarnya merupakan sebuah acara pertandingan yang ingin menguji kekuatan sekuriti pada sesebuah sistem. Kumpulan yang berjaya menggodam sesebuah sistem ini akan disajikan dengan sejumlah hadiah lumayan – antaranya ganjaran dalam bentuk wang tunai.

Tesla Model 3 yang berjaya digodam ini membuktikan penggodam boleh menghantar mesej – terutamanya dalam bentuk hasutan kepada pemilik kenderaan Tesla. Ia agak membimbangkan kerana ia boleh menakutkan pengguna daripada terus memandu kenderaan ini. Mesej yang diterima juga boleh hadir dalam bentuk ugutan, sekaligus mengancam keselamatan pemilik kenderaan daripada Tesla ini.

Pihak Tesla telah dimaklumkan dengan perkara ini dan memandang serius dengan isu sekuriti yang terdapat pada kenderaan mereka. Tesla mengatakan bahawa mereka akan menawarkan kemaskini baru bagi mengelakkan banyak lagi kereta digodam dengan pepijat ini. Pihak Tesla turut berterima kasih kepada para penggodam ini kerana usaha mereka dapat meningkatkan lagi sistem sekuriti yang terdapat pada kenderaan keluaran mereka.


TIPS & ULASAN