Model Baru Nintendo Switch Dijangka Hadir Dalam Dua Versi Berlainan

Model Baru Nintendo Switch Dijangka Hadir Dalam Dua Versi Berlainan

Diterbitkan pada Mac 25, 2019 oleh .

Nintendo Switch merupakan konsol hibrid yang membolehkan pengguna bermain ketika bergerak atau memainkannya melalui televisyen. Namun peranti tidak menerima kemaskini perkakasan buat sekian lama iaitu sejak ia diperkenalkan pada tahun 2017. Mengikut laporan terkini, Nintendo dikatakan sedang bercadang untuk melancarkan model baru untuk Nintendo Switch pada Jun ini.

Ia telah dilaporkan oleh The Wall Street Journal yang mana Nintendo mungkin akan hadir dengan dua versi Switch yang berlainan. Salah sebuah versi dilihat akan memfokuskan kepada penambahbaikan fungsi di dalamnya, yang mana ia ditujukan bagi pemain yang ingin sesuatu yang lebih pada Switch. Sebuah lagi versi pula akan ditawarkan dalam bentuk kos rendah, yang dilihat lebih ditujukan kepada pengguna yang ingin memiliki Switch buat kali pertama.

Versi berkos rendah ini dikatakan tidak membawa kebolehan Joy-Con yang boleh ditanggalkan, sekaligus memberi petanda ia tidak membawa fungsi getaran. Ia juga dikatakan ingin menggantikan tempat Nintendo 3DS – dengan menyajikan pakej peranti yang lebih kecil dan mudah dibawa.

Perkara yang dikongsikan ini tidak menyatakan sebarang maklumat tambahan mengenai spesifikasi, namun dijangka akan membawa peningkatan dari segi pengalaman permainan. Nintendo Switch versi baru dijangka akan diumumkan pada acara E3 yang bakal berlangsung pada Jun 2019 ini.


TIPS & ULASAN