Honor pada sebelum ini telah hadir dengan GPU Turbo untuk memberi prestasi permainan yang lebih pantas. Ia dijayakan dengan pengoptimasian CPU dan GPU dengan memfokuskan prestasi kepada permainan yang sedang berjalan. Fungsi seumpanya dilihat akan hadir pada Pocophone F1 – melalui perkenalan fungsi Game Turbo.
Fungsi ini ingin membolehkan permainan dapat dijalankan dengan lebih lancar, selain memberi bacaan FPS dengan lebih stabil. Pengoptimasian CPU dan GPU dapat mengurangkan pengeluaran haba, sekaligus memberi bacaan FPS yang lebih sekata. Dengan fungsi ini, pengguna akan kurang menerima isu penurunan bacaan FPS yang agresif terutama ketika memainkan permainan bergrafik intensif.
Xiaomi sebenarnya telah menyertakan Game Speed Booster sewaktu pengenalan Xiaomi Mi 9. Ia hadir dengan paparan khas, yang menempatkan sejumlah tetapan dan informasi berkaitan dengan GPU, CPU, dan bacaan FPS. Cuma pada Pocophone F1, ia telah dijenamakan sebagai Game Turbo yang disesuaikan untuk kegunaan MIUI for Poco.
Seperti Game Speed Booster, Game Turbo ini turut menyertakan kebolehan merakam skrin, pengosongan memori, dan kebolehan untuk pengurusan WiFi atau selular. Ia juga membolehkan pengguna mengeluarkan aplikasi seperti WhatsApp, Facebook, dan pelayar web dalam bentuk tetingkap kecil. Melaluinya, pengguna dibenarkan untuk membuat balasan mesej atau mencari info melalui pelayar web secara pantas.
Fungsi ini sedang diuji melalui MIUI Global Beta dan dijangka akan hadir pada fungsi stabil tidak lama lagi. Ia sebuah fungsi yang dapat menambahbaik pengalaman permainan dengan sejumlah fungsi tetapan yang menarik. Bagi anda yang menggunakan Pocophone F1 dan sedia menggunakan MIUI Global Beta, anda boleh mengaktifkan fungsi Game Turbo ini melalui aplikasi Security.