Grab mungkin telah mendominasi perkhidmatan seru-pandu di Malaysia namun itu masih tidak menghalang pesaing lain dari menawarkan perkhidmatan mereka. Maxim, perkhidmatan seru-pandu dari Russia kini sedang menguji perkhidmatan tersebut di Kuantan.
Menggunakan Maxim, pengguna boleh memasukkan sehingga 5 destinasi. Malah, terdapat pilihan untuk mempercepatkan tempahan dengan bayaran RM1 bagi menggalakkan pemandu mengambil perjalanan tersebut. Malah terdapat juga pilihan meletakkan tip, atau memerlukan mereka mengangkut barangan dan juga ingin membawa haiwan peliharaan.
Sedikit berbeza dengan yang lain, Maxim turut menawarkan perkhidmatan seru-pandu menggunakan motorsikal namun sewaktu mencubanya, tiada pemandu tersedia untuknya.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan berapakah jumlah kenderaan yang menggunakan Maxim di Kuantan. Selain Maxim dan Grab, satu lagi perkhidmatan seru-pandu yang aktif di Kuantan adalah MyCar. Selain dari Kuantan, terdapat pilihan bandar lain untuk perkhidmatan Maxim antaranya Miri, Kuala Terengganu & Seremban namun masih tidak dapat dipastikan adakah ia sudahpun beroperasi.