Cari @ Amanz

Chrome Untuk Android Bakal Hadir Dengan Fungsi Pengurusan Tab Secara Berkumpulan

Link Copied!

Pelayar web pada telefon pintar dilihat kurang memberi penekanan kepada pengurusan tab. Setiap pautan yang dibuka akan ditempatkan ke satu paparan tab utama – yang meliputi kesemua tab yang pernah dibuka. Perkara ini membuatkan tab yang dibuka tidak terurus dan Google ingin membantu untuk mengurangkan masalah ini.

Google dikatakan sedang menguji fungsi tab secara berkumpulan pada Chrome untuk Android, bagi memudahkan anda menguruskan tab yang dibuka. Bayangkan anda sedang mencari info berkaitan masakan, anda boleh menempatkan tab yang dibuka berada di dalam satu kumpulan. Perkara ini sekaligus membuatkan tab yang dibuka lebih terurus, tanpa perlu bercampur dengan tab yang tidak berkaitan dengan kumpulan tersebut.

Untuk mengaktifkannya, anda boleh menekan lama sesebuah pautan, dan tekan pada “add to tab group“. Anda boleh meleretkan paparan bar dari bawah ke atas untuk melihat tab yang sedang berjalan di dalam kumpulan tersebut. Untuk menambah sesebuah kumpulan, ia dapat dilakukan dengan hanya menambah tab baru.

Walau bagaimanapun, fungsi ini hanya ditawarkan pada Chrome Canary terkini dengan mengaktifkan sejumlah flag. Bagi anda yang ingin mengujinya, anda boleh memuat-turun Chrome Canary dengan versi 75.0.3739.0 melalui halaman APK Mirror. Kemudian, anda perlu mengaktifkannya melalui dua flag ini iaitu chrome://flags/#enable-tab-groups dan chrome://flags/#enable-tab-grid-layout.


Komen ()